HARRIF (kiri) bersama Anuar antara enam pelumba yang dijadual ke Melbourne 5 Julai depan.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) mewakili negara di Sukan SEA pada Ogos nanti akan menjalani latihan fasa akhir di Melbourne Australia bermula 5 Julai depan.

Menurut pakar pecut negara Mohd Harrif Saleh, dia bersama Mohd Zamri, Anuar Manan, Adiq Husainie Othman, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki akan menjalani latihan bersama jurulatih Jeremy Hunt.

“Latihan itu peringkat terakhir kami bagi menghadapi Sukan SEA. Kami akan ke Melbourne pada 5 Julai dan hanya akan kembali dua minggu sebelum Sukan SEA,” katanya.

Barisan pelumba lebuh raya negara yang diketuai Harrif diletakkan sasaran untuk mempertahankan emas acara lepas beramai-ramai dan kriterium pada Sukan SEA nanti.

Jelas Harrif, latihan di Melbourne diharapkan mampu meningkatkan prestasinya.

“Sudah pasti apabila berpeluang menjalani latihan di Melbourne, banyak pertandingan tempatan akan dapat disertai di sana.

“Saingan di sana kompetitif kerana bukan saja memberikan cabaran mental, namun fizikal yang pasti akan membantu untuk menghadapi Sukan SEA nanti.

“Saya masih belum mengetahui program terperinci Hunt, namun percaya beliau sebagai bekas pelumba profesional berpengalaman pasti membantu saya untuk mempertahankan dua emas Sukan SEA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 11:26 AM