PAULINHO (kiri) pamer aksi cemerlang bersama Guangzhou Evergrande.
AFP

Hong Kong: Pengurus Guangzhou Evergrande Luiz Felipe Scolari percaya perpindahan pemain tengah Paulinho ke Barcelona tidak akan berlaku kerana peraturan Liga Super China menjadikan terlalu mahal untuk mencari pengganti.

Prestasi pemain Brazil berkenaan untuk juara China enam kali itu begitu mengagumkan sejak khidmatnya diperoleh kelab berkenaan dua setengah tahun lalu dengan pemain berusia 28 tahun itu mengaku minggu lalu yang Barcelona menunjukkan minat membawanya ke Sepanyol.

Scolari, bagaimanapun, menyatakan spekulasi untuk Paulinho kembali ke Eropah mungkin sukar kerana berdepan dengan kesulitan kelabnya memenuhi kekosongan ditinggalkannya.

“Klausa pelepasannya adalah 40 juta euro (RM192 juta) dan tiada satu daripada kelab akan melepaskan pemain utama mereka kerana sukar untuk mencari pengganti lantaran peraturan baru ditetapkan,” kata jurulatih berasal dari Brazil itu kepada wartawan.

Peraturan baru itu menyaksikan kelab dikenakan levi 100 peratus oleh Persatuan Bolasepak China atas bayaran perpindahan yang membabitkan lebih daripada 45 juta yuan (RM28 juta) untuk pemain asing dengan bayaran tambahan itu disalurkan bagi pembangunan remaja.

Akibatnya, perpindahan musim panas - yang dibuka Isnin lalu - agak lengang, dengan tiada pengambilan pemain asing baru menyertai kelab utama negara itu berbanding perpindahan sebelum ini.

Kelab China memecah rekod perpindahan Asia tiga kali dalam tempoh 18 bulan terakhir, dengan perpindahan Jackson Martinez ke Guangzhou dari Atletico Madrid mencetuskan tanda aras baru pada Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, kontraknya dipintas Shanghai SIPG, Jun tahun lalu apabila kelab itu mendapatkan Hulk dari Zenit St Petersburg untuk 55 juta euro (RM264 juta) sebelum kelab sama membeli Oscar dari Chelsea untuk 60 juta euro (RM288 juta), Januari lalu.

Paulinho yang juga bekas pemain tengah Tottenham Hotspur mengaku kepada akhbar Brazil Globo Esporte yang kelab Catalan itu sudah berhubung dengan wakilnya.

“Barcelona sudah menghubungi ejen saya,” Paulinho dipetik sebagai berkata pada hujung minggu. “Memang ada tawaran, tapi saya gembira dengan keadaan saya sekarang. Apabila anda berada di peringkat ini, agak sukar untuk membuat keputusan.

“Saya perlu menimbang banyak perkara sebelum membuat keputusan. Satu daripada faktor kritikal adalah kegembiraan saya. Pertama, saya perlu fikirkan mengenai isteri saya yang gembira di China. Kami gembira di sini dan kami sukakan rakyat negara ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 9:33 AM