SIGURDSSON ledak sembilan gol musim lalu.
Reuters

Swansea, Wales: Swansea City tidak menerima sebarang tawaran mantap terhadap pemain tengah Gylfi Sigurdsson dan akan melakukan apa saja untuk mengekalkan pemain berharga dari Iceland itu, menurut pengerusi kelab Liga Perdana itu, Huw Jenkins.

Pemain berusia 27 tahun itu seorang daripada beberapa pemain yang menyerlah buat Swansea dalam kempen sukar yang mana kelab itu berjaya mengelak daripada terjerumus ke divisyen bawahan selepas menang empat daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Sigurdsson meledak sembilan gol dalam liga dan Jenkins menyatakan kelab itu tidak mahu menjual sama ada dia atau penyerang Sepanyol, Fernando Llorente, yang menyumbat 15 gol.

“Kami tidak menerima sebarang bidaan kukuh dan jika ada sekalipun kami akan menanganinya dengan cara yang baik,” kata Jenkins.

“Harapan kami adalah cuba mengekalkan Gylfi dan Fernando, menyimpan pemain terbaik kami dan memastikan kami boleh menambah pemain dalam skuad.

“Sukar untuk menyatakan apa nilai Gylfi dalam pasaran hari ini, tapi bagi kami dia terlalu berharga dan kami perlu memastikan apa saja untuk mengekalkannya bersama kami.”

Jenkins berkata, penyerang Bafetimbi Gomis (gambar), yang menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Olympique de Marseille, dijangka meninggalkan kelab itu dengan rundingan sedang berlangsung antara Swansea dan kelab Turki, Galatasaray.

“Gomis ke Galatasaray satu kemungkinan, kami sedang berunding,” kata Jenkins. “Hasratnya adalah untuk meninggalkan kelab dan apabila kami boleh mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak, kami akan melakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 6:52 AM