Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FELCRA FC akhirnya bakal bersemuka bagi menyelesaikan kemelut berhubung status dua pemain Adib Zainuddin dan N Thanabalan yang kemungkinan dihalang menyertai skuad bawah 22 tahun negara (B-22).

Timbalan Presiden FELCRA FC Datuk Hazian Murad menjelaskan pihaknya kini dalam proses mengaturkan pertemuan itu yang dijangka berlangsung pada 30 Jun ini.

Katanya, FELCRA tetap berkeras meminta dua pemainnya itu dapat dilepaskan pada 9, 16 dan 23 Julai ini bagi mengharungi tiga aksi Kumpulan A saingan Liga FAM.

“Kami dalam proses untuk aturkan pertemuan dengan FAM dan mungkin banyak perkara yang boleh terlerai.

“Pihak kami akan berjumpa Timbalan Presiden FAM (Datuk Wira Yusoff Mahadi) yang juga pengurus pasukan B-22 negara.

“Perkara pokok perbincangan sudah semestinya terarah kepada dua pemain kami yang kini berlatih bersama skuad negara.

“Kami masih dengan pendirian asal untuk cuba membuat permohonan pelepasan sementara ke atas mereka berdua pada tarikh perlawanan kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, FELCRA menyuarakan kebimbangan mengenai prestasi pasukan beraksi tanpa khidmat Adib dan Thanabalan dengan membayangkan kemungkinan tidak melepaskan kedua-dua pemain itu menyertai kem latihan negara.

Bagaimanapun, mereka bersedia melepaskan dua pemain itu sekiranya FAM bersetuju dengan syarat membenarkan mereka berdua beraksi bersama FELCRA dalam baki tiga aksi menentang DBKL (9 Julai), Shahzan Muda (16 Julai) dan Hanelang (23 Julai).

Ketika ini, skuad B-22 sedang giat mempersiapkan pasukan untuk dua tugasan besar iaitu menghadapi Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok dari 19-23 Julai depan, disusuli temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19-30 Ogos.

“Setakat ini, kedua-dua pemain berkenaan masih menjalani latihan bersama skuad B-22 dan kami harap hasil perbincangan nanti akan berakhir dengan keputusan memuaskan hati kedua-dua belah pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 6:34 AM