AL-JUFFERI tekad buru emas keempat temasya Sukan SEA.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Juara silat dunia 2016, Mohd Al-Jufferi Jamari mahu berdepan pesilat dari Indonesia, Thailand dan Vietnam pada saingan pencak silat di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dari 19-30 Ogos ini.

Al-Jufferi, 25, yang melakar sejarah muncul pesilat pertama dunia meraih gelaran hatrik berkata, pesilat dari tiga negara itu menjadi pilihannya dalam melaksanakan misi memburu pingat emas keempat berturut-turut pada temasya dwitahunan itu.

“Kalau ikutkan semua yang bertanding adalah saingan yang saya ingin tumbangkan. Tapi, pesilat dari Vietnam, Indonesia dan Thailand menjadi keutamaan saya,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) di sini, kelmarin.

Turut hadir Presiden PESAKA, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang menyampaikan wang sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim.

Menurut Al-Jufferi yang dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan 2015, pesilat dari Indonesia, Komang Harik Ai Putra yang juga seteru lamanya dalam kancah persilatan adalah antara individu yang paling ingin menumbangkannya pada temasya itu nanti.

“Dikhabarkan dia (Komang) akan bertanding dan saya tahu dia akan meneruskan niat untuk mengalahkan saya kali ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia yang bertanding dalam Kelas Putra E (65-70kg) mengakui berada dalam keadaan terbaik serta menyifatkan tiada sebarang tekanan dihadapinya menjelang KL2017.

“Bagi saya tiada tekanan untuk saya kerana anugerah serta gelaran yang diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan PESAKA dalam beberapa tahun ini menguatkan lagi semangat saya untuk berjuang mempertahankan pingat emas,” katanya.

Al-Jufferi dan srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir akan mengetuai cabaran 26 pesilat negara pada KL2017 Ogos ini dengan PESAKA meletakkan sasaran lapan pingat emas daripada 20 yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 9:45 AM