Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Sepang: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) gembira dengan perkembangan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara yang menamatkan tiga aksi persahabatan di China kelmarin.

Sepanjang tiga aksi persahabatan, skuad yang bakal beraksi di Sukan SEA 2017 itu hanya tewas tipis 0-1 kepada skuad B-22 China, seri 2-2 menentang pasukan simpanan Guangzhou R&F dan kelmarin melakar kemenangan bergaya 3-0 mengatasi pasukan simpanan Guangzhou Evergrande.

“Saya sudah menerima laporan Datuk Ong Kim Swee. Beliau juga agak berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain negara namun kita masih ada baki dua bulan (menjelang Sukan SEA).

“Saya berharap pemain dapat meneruskan latihan dan memberi tumpuan untuk misi Sukan SEA,” katanya.

Perkembangan berkenaan pastinya sesuatu yang melegakan selepas Kim Swee dilantik mengendalikan skuad berkenaan bagi menggantikan Frank Bernhardt pada Mac lalu.

Ia petanda yang positif ketika saingan bola sepak dijadualkan bermula pada 14 Ogos.

“Paling penting mereka mencapai kemuncak prestasi pada temasya sebenar nanti. Jelajah persahabatan di China menghasilkan satu prestasi yang baik. Saya berharap ia dapat dikekalkan,” katanya.

Anak buah Kim Swee akan menghadapi peringkat kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 pada Julai dengan sasaran mara ke pusingan akhir.

Ia disusuli misi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos dengan harapan mampu mengulangi pencapaian emas edisi 2011 di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 4:06 AM