HAZIAN (dua kiri) ketika sidang media selepas majlis berbuka puasa pasukan FELCRA kelmarin.
myMetro

Kuala Lumpur: “Kami memohon FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) supaya melepaskan dua pemain utama kami untuk tiga aksi pasukan pada 9, 16 dan 23 Julai nanti.

“Kalau tidak, agak sukar untuk kami benarkan mereka berlatih dengan skuad bawah 22 tahun negara (B-22).”

Demikian harapan tinggi Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad yang mahu khidmat dua pemain utama iaitu tonggak pertahanan tengah Adib Zainuddin dan pemain sayap N Thanabalan diberikan pelepasan bagi membantu kelab dalam tiga aksi penting saingan Liga FAM.

Menurut Hazian, beliau memahami skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sedang sibuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi dua kejohanan terbesar - Kelayakan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Julai ini dan saingan Sukan SEA Kuala Lumpur (Ogos), namun FELCRA juga mempunyai sasaran wajib yang harus dicapai musim ini.

“Saya faham dan sedar dengan tugasan dua pemain berkenaan bersama pasukan negara. Tapi kami juga ada sasaran yang perlu diraih musim ini.

“Kami mahu layak ke Liga Perdana musim depan dan khidmat Adib serta Thanabalan cukup penting.

“Terus terang mereka berdua kunci utama kejayaan dan pencapaian kami sepanjang musim ini. Jika tidak dapat bersama, kemungkinan persembahan FELCRA akan terganggu sekali gus merencatkan semua perancangan kami.

“Kalau boleh, saya harap kem negara dapat lepaskan mereka pada hari perlawanan saja. Kemudian mereka boleh terus berlatih dengan pasukan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama FELCRA FC, di sini, semalam.

Bagaimanapun, berdasarkan jadual saingan kelayakan B-23 AFC itu nanti, permintaan berkenaan mungkin sukar dipenuhi kerana tarikh berkenaan bertembung dengan kempen pusingan kelayakan di Bangkok, Thailand, dari 19-23 Julai depan.

“Sekiranya terdesak, saya sanggup berjumpa dengan pihak pengurusan FAM termasuk Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Kami memang berat untuk lepaskan mereka,” katanya.

Ketika ini, FELCRA menghuni tangga keempat kumpulan A Liga FAM dengan memungut 18 mata dan dilihat berpeluang cerah mara ke suku akhir dijadualkan bermula pertengahan Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 10:16 AM