PENYERANG negara Syafiq Ahmad (kanan) dikekang pertahanan Guangzhou R&F FC.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee masih tidak berpuas hati dengan aksi anak buahnya pada aksi persahabatan kedua siri jelajah China apabila sekadar seri 2-2 menentang pasukan simpanan Guangzhou R&F FC di Pusat Latihan Bola Sepak Baining, Guangzhou, semalam.

Berbanding aksi pertama ketika tumbang 0-1 di tangan skuad B-22 China, Kim Swee menukar hampir tujuh pemain lain untuk dinilai prestasi mereka.

“Bagi saya, aksi dipamerkan tidak memuaskan selepas membuat tujuh pertukaran daripada perlawanan pertama tempoh hari.

“Saya dapati beberapa pemain yang diberi peluang belum mencapai tahap memuaskan. Mujur selepas saya memasukkan Safawi Rasid kami dapat bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri,” katanya semalam.

Dalam aksi itu, Malaysia bermula goyah apabila ketinggalan dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Deng Zhiyao pada minit ke-21 dan Zhu Di, ke-38.

Bersambung babak kedua, pasukan negara mempamerkan kebangkitan dramatik dengan memperagakan aksi lebih tersusun sekali gus memberi tekanan kepada lawan.

Safawi, penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang dimasukkan pada babak kedua muncul wira apabila menjaringkan dua gol (minit ke-47 dan 53) untuk mengikat Guangzhou R&F.

“Walaupun gagal menang, paling penting pemain mempunyai sikap positif untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol dan bagi saya, itu petanda baik.

“Secara keseluruhan beberapa pemain belum bersedia beraksi di peringkat tertinggi dan saya harap kita akan menang perlawanan terakhir menentang pasukan simpanan Guangzhou Evergrande (esok),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 10:09 AM