ONG Kim Swee.
myMetro

Kuala Lumpur: Datuk Ong Kim Swee (gambar) berharap anak buahnya akan tampil lebih fokus sejak minit pertama perlawanan dengan menjadikan kekalahan di tangan pasukan skuad bawah 22 tahun (B-22) China sebagai pengajaran berguna buat pasukannya.

Tewas 0-1 menerusi jaringan gol pantas seawal minit pertama di Stadium Pusat Sukan Xiangtan kelmarin jelas menghadirkan kebimbangan di raut wajah Kim Swee yang mahu kelemahan itu segera diatasi.

“Apa yang pasti, perkara utama perlu dibaiki ketika ini adalah mengenai fokus pemain terutamanya di awal permainan yang menyebabkan kami tumbang kepada China.

“Saya harap kelemahan itu dijadikan pengajaran berguna yang mana pemain wajib meletakkan sepenuh perhatian apabila beraksi. Ini juga menunjukkan kita perlu lebih banyak lagi aksi persahabatan untuk pendedahan,” katanya semalam.

Kim Swee, 47, yang baru mengambil alih tugas membimbing pasukan B-22 daripada Frank Bernhardt April lalu, gagal memastikan tugas pertamanya berakhir dengan kemenangan apabila tewas tipis kepada China.

Meskipun cuba bangkit pada babak kedua dengan menguasai hampir keseluruhan tempoh permainan selepas ketinggalan 0-1 di babak pertama, ketumpulan jentera serangan nyata mengecewakan Kim Swee yang terpaksa akur dengan keputusan itu.

“Kami menguasai lebih baik daripada China di babak kedua tapi penyerang negara gagal menembusi pertahanan tuan rumah,” katanya.

Skuad B-22 atau turut dikenali dengan skuad Projek Sukan SEA 2017 akan meneruskan siri jelajah China berdepan dua pasukan simpanan - Guangzhou R&F esok dan Guangzhou Evergrande Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 11:03 AM