DOLLAH (tengah) mahu pemain tingkat tahap kecergasan.
Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Dua aksi persahabatan bersama pasukan Liga Perdana akan menjadi pengukur prestasi semasa Pahang apabila saingan Liga Super bersambung selepas Aidilfitri.

Jurulatih Dollah Salleh berkata, dua perlawanan itu membabitkan pertemuan dengan UiTM FC malam esok dan Terengganu (17 Jun), masing-masing di Stadium Darul Makmur.

Katanya, menerusi dua perlawanan persahabatan itu diharap keupayaan pasukan dapat dinilai selepas menumpukan aspek kecergasan sepanjang sesi latihan ketika Ramadan sejak 1 Jun lalu.

“Setakat ini, latihan berjalan lancar terutama dari segi komitmen pemain termasuk import kecuali ketiadaan enam yang bersama skuad Harimau Malaysia.

“Namun, komitmen tetap ditagih untuk memastikan prestasi lebih baik dapat dipersembahkan sebaik liga bersambung termasuk tumpuan terhadap aksi Piala Malaysia,” katanya semalam.

Setakat 13 perlawanan, skuad Tok Gajah kini menduduki tangga kedua dengan mengutip 24 mata, di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang mengumpul 30.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:42 AM