MORTEN Frost Hansen.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Juara Piala Thomas 2018 menjadi sasaran terbaru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mereka mengeluarkan perancangan terperinci mengenai hala tuju 2017 hingga 2020.

Menurut Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen, dengan penstrukturan semula barisan kejurulatihan dan kehadiran Datuk Misbun Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki, ia menambah lagi sasaran badan induk berkenaan yang sebelum ini mensasarkan emas Sukan Olimpik 2020 Tokyo serta berada dalam ranking tiga terbaik dunia.

“Kita juga bukan saja meletakkan sasaran muncul juara Piala Thomas 2018 malah mahu pemain sedia ada menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, menjelang Piala Thomas 2018, Malaysia dijangka mempunyai kekuatan seimbang dalam acara perseorangan dan beregu lelaki serta yakin dengan kemampuan Misbun bekerjasama dengan Cheah Soon Kit (ketua jurulatih beregu lelaki).

“Saya yakin Misbun dan Soon Kit mampu melengkapi satu sama lain. Itu yang kami letakkan juara Piala Thomas sebagai objektif utama. Selain itu kami juga akan mempunyai sasaran lebih terperinci bagi ranking pemain di setiap bahagian selain cuba meraih emas di Tokyo 2020,” katanya.

Termasuk dalam perancangan baru BAM itu adalah sasaran Sukan SEA 2017 - meraih dua emas, dua perak dan empat gangsa - dengan harapan diletakkan di bahu beregu campuran, manakala beregu wanita diharap mampu mempertahankan emas dimenangi di Myanmar (2013) dan Singapura (2015).

BAM menyenaraikan 10 pemain lelaki dan 10 wanita ke temasya dwitahunan itu membabitkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Lim Chi Wing (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki), Goh Soon Huat dan Chan Peng Soon (beregu campuran).

Skuad wanita pula dianggotai Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Lee Ying Ying, Ho Yen Mei (perseorangan wanita), Woon Khe Wei, Vivian Hoo, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean (beregu wanita), Shevon Lai dan Cheah Yee See (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:21 AM