DIEGO Costa.
Reuters

London: Penyerang Chelsea Diego Costa sedia meninggalkan Stamford Bridge selepas mendapat tahu bahawa namanya tidak ada dalam senarai perancangan pengurus Antonio Conte untuk musim depan.

Costa, 28, meledak 20 gol sepanjang 35 penampilan bersama Chelsea musim lalu walaupun media tempatan melaporkan hubungannya dengan pengurus Itali terbabit sering terganggu.

“Conte memberi saya mesej bahawa nama saya tidak ada dalam perancangannya bersama Chelsea,” kata Costa kepada wartawan selepas Sepanyol sekadar seri 2-2 dengan Colombia pada perlawanan persahabatan semalam.

“Musim lalu, hubungan saya dengan pengurus memang tidak baik. Ia sesuatu yang mengecewakan, tetapi beliau tidak lagi mahukan saya dan sudah tentu saya perlu berpindah keluar.”

Costa yang pernah bersama kelab Sepanyol Atletico Madrid pada 2010-14, mahu kembali ke kelab lamanya itu, tetapi perlu menunggu hingga larangan pembelian pemain yang dikenakan ke atas kelab terbabit ditarik semula Januari nanti.

Peluangnya untuk mewakili Sepanyol di Piala Dunia Russia tahun depan juga bergantung kepada jumlah perlawanan yang diharungi.

“Lima bulan tanpa bermain? Saya tidak tahu, ia sesuatu yang sukar untuk dijelaskan, tetapi semua orang sedar saya sukakan Atletico dan saya gembira dengan gaya hidup di Madrid,” kata Costa.

“Memang seronok jika dapat kembali ke sana, tetapi sukar bagi saya untuk tidak bermain selama empat atau lima bulan. Ia tahun di mana Piala Dunia akan berlangsung dan banyak perkara yang perlu difikirkan. Saya perlu bermain lebih kerap, itu saja.”

Penyerang Everton Romelu Lukaku dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea dan pemain antarabangsa Belgium itu juga mendedahkan bahawa dia sedia untuk meninggalkan Everton untuk mencari angin baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:12 AM