PESILAT negara bakal menjalani latihan di Gunung Da-Lat, Vietnam.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tiada sambutan Aidilfitri bagi pesilat negara dalam usaha memastikan sasaran lapan pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos depan dicapai.

Arahan itu dikeluarkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) kepada 27 atlet dan tujuh pegawai untuk menjalani latihan di Vietnam dari 19 Jun hingga 9 Julai.

“Semua pesilat tidak akan menyambut Aidilfitri tahun ini. Kami mahu memberikan “tekanan” mental dengan mengadakan latihan di Gunung Da-Lat, kawasan yang terletak jarak perjalanan lima jam dari bandaraya Ho Chi Minh.

“Kami terpaksa bertindak “kejam” kerana mereka mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan iaitu memastikan sasaran lapan emas mampu dicapai,” jelas Setiausaha Agung PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Jelasnya tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan pesilat negara berada pada tahap terbaik dan mereka tidak mempunyai bantahan untuk mengikuti program yang sudah dirancang.

“Atlet kami sudah mempunyai teknik yang mencukupi dengan tumpuan ketika ini adalah kekuatan mental,” katanya.

Tindakan PESAKA dilihat bertepatan kerana silat dijangka akan menjadi penentu kepada nasib kontinjen negara sama ada bergelar juara keseluruhan atau sebaliknya kerana 16 final berlangsung sehari sebelum upacara penutup.

Silat akan menawarkan 20 emas secara keseluruhan dengan PESAKA meletakkan sasaran rasmi sebanyak lapan emas, empat perak dan enam gangsa.

Sandaran utama pastinya terletak kepada juara dunia Al Jufferi Jamari, Razak Ghazali dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 9:24 AM