NUR Ayuni Farhana Abdul Halim (kiri) dan Muslifah Zulkifli.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Masalah disiplin dikatakan menjadi faktor utama dua penembak terbaik negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli digugurkan daripada skuad menembak negara bagi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos ini.

Pekara itu bukan sesuatu yang mengejutkan selepas timbul dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan mereka sejak Mac lalu.

Biarpun menyerlah di beberapa kejohanan yang disyaratkan oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sebagai medan pemilihan, itu belum cukup menjamin nama mereka disenaraikan.

Setiausaha Kehormat NSAM Adam Tee menegaskan faktor utama mereka digugurkan adalah disebabkan kemerosotan prestasi selepas digugurkan daripada Program Podium.

“Ayuni dan Muslifah tidak berada dalam pasukan. Prestasi mereka semakin merosot selain menimbulkan banyak masalah antaranya disiplin.

“Perkara itu nyata menjejaskan sesi latihan dan menyebabkan mereka gagal menyerlah dalam pertandingan yang disertai.

“Dalam menembak disiplin penting dan itu menjadi faktor utama mengapa mereka digugurkan,” katanya.

Adam berkata, senarai pemilihan atlet diputuskan oleh ketua jurulatih selepas mendapati ada atlet lain yang lebih baik daripada dua penembak itu.

Dua tahun lalu skuad menembak menyumbang dua emas, lapan perak dan enam gangsa.

Satu daripada emas itu diraih Ayuni menerusi acara 50 meter rifle tiga posisi. Ayuni yang bergandingan bersama Muslifah dan Nur Suryani Taibi turut merangkul tiga perak dalam acara berpasukan 50m rifle prone, 50m rifle tiga posisi dan 10m air rifle.

Sementara itu Adam menjelaskan bagi saingan KL2017, NSAM membariskan 20 penambak terdiri daripada 13 lelaki dan 11 wanita.

Sebagai persediaan awal, seramai 17 atlet menembak kini berada di Korea untuk menjalani latihan bagi memastikan sasaran empat emas menjadi realiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 9:10 AM