BALE gembira di Real.
Reuters

London: Pemain tengah Gareth Bale seronok bersama kelab juara Sepanyol Real Madrid dan tidak akan berpindah ke kelab lain dalam masa terdekat ini, kata pemain kebangsaan Wales itu selepas pasukannya menjulang Liga Juara-Juara, kelmarin.

Bale yang menyertai Madrid pada 2013, sudah meledak 67 gol sepanjang 146 penampilan dan menandatangani kontrak lanjutan Oktober lalu dan dia akan kekal di kelab hingga 2022 tetapi masa depannya di Sepanyol heboh diperkatakan gara-gara beberapa siri kecederaan yang dialaminya musim ini.

“Kami memenangi piala dan saya gembira dengan keadaan ini. Saya sudah menandatangani kontrak lanjutan di Madrid,” kata Bale selepas Madrid menundukkan Juventus 4-1 di Cardiff.

“Keluarga saya gembira di sini dan begitu juga saya. Justeru kami akan teruskan apa yang sedang kami lakukan.”

Kejayaan Madrid memenangi Liga Juara-Juara tiga kali dalam tempoh empat tahun bermakna Bale sudah memenangi tujuh kejuaraan di kelab itu tetapi pemain berusia 27 tahun itu masih belum puas.

“Itulah sebabnya mengapa saya datang ke Real Madrid – untuk memenangi kejuaraan. Kami sedang menikmati kejayaan ini dan kami akan meneruskannya,” kata Bale.

“Tiga Liga Juara-Juara dalam tempoh empat musim adalah catatan yang membanggakan.

“Saya rasa kami mampu menjadi lebih baik. Kami masih agak muda dan secara keseluruhan, kami mempunyai pasukan yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 8:46 AM