YUSOFF (dua dari kanan) memberi suntikan motivasi kepada barisan pemain B-22 negara.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kelana Jaya: “Jangan kecewakan penyokong.” Itu peringatan disuarakan pengurus skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Wira Yusoff Mahadi kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee supaya memberikan persembahan terbaik untuk sekurang-kurangnya mara ke final Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Beliau berkata, ia pasti sesuatu yang mengecewakan andai skuad muda negara tidak beraksi di kemuncak temasya sukan itu nanti.

“Saya anggap ia tanggungjawab besar pasukan dengan meletakkan sasaran ke final. Kami nak malam terakhir di sini pasukan kita akan beraksi. Agak malang nanti jika malam itu pasukan kita tak beraksi, kekecewaan itu pasti dirasai seluruh peminat bola sepak negara.

“Sasaran saya adalah sampai ke final dan perlawanan akhir itu akan menjadi motivasi mereka merampas emas,” kata Yusoff yang mengadakan pertemuan dengan skuad negara, semalam.

Skuad B-22 negara kini sedang giat menjalani persiapan bukan saja bagi menghadapi Sukan SEA malah pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC di Bangkok, Julai depan.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, kedua-dua kejohanan itu sama penting, namun untuk beraksi cemerlang di laman sendiri perlu menjadi keutamaan anak buah Kim Swee.

“Kami harap kita dapat kedudukan yang baik di AFC supaya menjadi pasukan pilihan pada pusingan seterusnya tapi Sukan SEA juga penting walaupun ada menganggap taraf kejohanan agak rendah.

“Sukan SEA berlangsung di negara kita, jadi kena beri penekanan, tak mahu pasukan kecundang di tempat sendiri kerana membabitkan soal maruah,” katanya.

Sebagai persediaan, skuad B-22 negara akan berlepas ke China pada 8 Jun ini untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan B-22 China serta pasukan simpanan Guangzhou R&F dan Guangzhou Evergrande.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 7:49 AM