ZULFADHLI (dua dari kanan) dan Juwaidi (kiri) galas cabaran compound negara di KL2017.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Emas pertama Malaysia di Sukan SEA dijangka terhasil di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil apabila venue acara memanah diputuskan di lokasi berkenaan.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam selepas Dataran Merdeka yang menjadi pilihan utama terpaksa diketepikan kerana sambutan Hari Kebangsaan.

“Kami sudah putuskan di MSN Bukit Jalil kerana Dataran Merdeka digunakan untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-60. Jadi kami tidak mempunyai cukup masa untuk menyiapkan venue pertandingan.

“Sebenarnya saya mahu memanah dilangsungkan di Dataran Merdeka kerana ramai berpeluang menyaksikannya kerana di tengah pusat bandar. Namun tidak dapat dielak kerana sudah bertindih,” jelasnya.

Pengumuman berkenaan pastinya melegakan barisan pemanah negara yang masih belum mengetahui venue pertandingan sebelum ini.

Selain Dataran Merdeka, terdapat dua pilihan yang diumumkan untuk pertandingan memanah iaitu MSN Bukit Jalil dan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Pemanah dijangka menyumbangkan emas pertama kontinjen negara dengan pemenang tiga emas Sukan SEA 2015 Fatin Nurfatehah Mat Salleh menjadi taruhan utama pada aksi final compound wanita yang dijadualkan berlangsung pada 16 Ogos.

Pada hari yang sama tumpuan turut terarah kepada individu compound lelaki dengan Malaysia mempertaruhkan pemenang perak dan gangsa Sukan SEA 2015, Zulfadhli Ruslan dan Mohd Juwaidi Mazuki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 4:20 AM