PESERTA dan urusetia bergambar selepas majlis penutup Kejohanan Muay Thai Amatur Pahang.
Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my


Kuantan: Peserta berpengalaman Muhamad Haikal Hakimi Shahrul Efendi mengungguli kategori 67 kilogram pada Kejohanan Muay Thai Amatur Pahang di dewan Pasukan Gerakan Am Kem Galing, di sini, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Muay Thai Pahang dengan kerjasama Kelab Harimau Biru Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu disertai lebih 30 peserta tempatan dan luar bertujuan mencungkil bakat baru dalam kalangan remaja selain mempopularkan sukan itu.

Pengarah kejohanan Mohamed Nizam Abdilah berkata, sebanyak lima kategori lelaki dan wanita dipertandingkan pada kejohanan amatur kali pertama dianjurkan bagi memilih peserta terbaik untuk mewakili Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Menurutnya, kejohanan sehari itu disertai peserta yang mewakili sembilan kelab muay thai di negeri ini yang kebanyakannya sebelum ini pernah menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan.

Setiap kelab menghantar peserta masing-masing terdiri daripada golongan remaja, walaupun cetek pengalaman namun kemahiran dan semangat tinggi dimiliki beberapa peserta berupaya melonjakkan nama mereka satu hari nanti.

“Saya berjaya menyenaraikan lebih 20 peserta pada kejohanan ini untuk mengikuti sesi pemilihan pasukan SUKMA Pahang, hanya peserta terbaik saja akan layak mewakili negeri.

“Walaupun muay thai masih dianggap baru di negara ini namun sambutan terhadap sukan ini begitu menggalakkan terutama dalam kalangan golongan remaja,” katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan yang disempurnakan Presiden Persatuan Muay Thai Pahang, Datuk Halimi Kamaruzaman.

Nizam yang juga pengurus skuad muay thai Pahang pada SUKMA 2018 berkata, persiapan lebih rapi akan dilakukan dalam usaha membawa pulang pingat yang ditawarkan.

Sementara itu, Halimi berkata, pihaknya akan menganjurkan lebih banyak kejohanan di peringkat daerah dan negeri pada masa akan datang bagi mencungkil bakat baru selain turut menganjurkan kursus pengadil serta pegawai pertandingan.

“Sukan muay thai mempunyai peluang cerah menjadi penyumbang pingat emas kepada kontinjen Pahang pada SUKMA 2018 di Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 9:09 AM