AKTIVITI penanaman pokok bakau memberi pengalaman baharu kepada peserta.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


MUTAKHIR ini pelbagai kes pencemaran berlaku di Malaysia, sekali gus memberi isyarat bahayanya jika ilmu mengenai alam sekitar tidak dihayati generasi muda.

Kesannya, mereka gagal melaksanakan tanggungjawab memelihara bumi ini daripada sebarang kerosakan yang boleh memudarat dan mengancam nyawa.

Apatah lagi kelestarian biodiversiti menjadi antara aspek terpenting dalam keseimbangan penjagaan alam sekitar.

Oleh itu, Management and Science University (MSU) komited memastikan alam sekitar terus terpelihara amnya dan hidupan laut khasnya.

Bagi memperkasa usaha itu, sekumpulan mahasiswa MSU berusaha meningkatkan populasi terumbu karang selaras dengan United Nations Sustainable Development Goals (UNSDG).

MyCoral 4.0 diadakan di Pulau Geluk, Terengganu dilaksanakan 106 peserta terdiri penuntut Sekolah Perubatan Antarabangsa (IMS), alumni MSU dan kakitangan MSU.

Program tahunan yang bertujuan memastikan khazanah laut tidak terus diancam kepupusan itu dirasmikan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

MyCoral 4.0 juga bermatlamat memperkasakan warga MSU yang cakna kepada alam sekitar dan terbabit secara aktif dalam aktiviti sukarelawan.

Peserta turut menjalankan aktiviti komuniti membabitkan pemeriksaan dan penjagaan kesihatan, gotong-royong menerusi program Embracing Community Health Outreach(ECHO) di Kampung Mangkuk, sebuah perkampungan nelayan di Rhu 10.

ECHO adalah inisiatif MSU dalam pembangunan sosial yang menyeluruh merangkumi penjagaan kesihatan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

PENUNTUT perubatan MSU menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk.

Pengarah Projek, Muhammad Syakir Abd Halek, 23, berkata, program kali ini adalah kesinambungan kepada edisi terdahulu untuk melihat proses perkembangan dan pembesaran terumbu karang serta menambah sangkar baharu untuk pembiakannya.

Katanya, mereka turut mengikuti program perkongsian oleh pakar biologi marin dari Dorkem Reef Resources berkenaan teknik penjagaan dan pembiakan terumbu karang serta keselamatan semasa aktiviti dalam air.

“Bagi Mycoral 4.0, kami aplikasi teknik baharu untuk terumbu karang yang mengalami pertumbuhan perlahan iaitu teknik ‘microfragmentation’ atau pemecahan mikro. Proses ini membantu mempercepatkan proses pertumbuhan terumbu karang pada kadar yang lebih pantas iaitu antara 25 hingga 40 kali lebih pantas berbanding kadar normal.

“Untuk penjagaan dan pembiakan tumbuhan laut ini, kami tidak ambil dari sumber luar. Maksudnya kami hanya ambil terumbu karang yang baharu di kawasan habitat sendiri dan memilih yang sihat serta sebar ke dalam kawasan terumbu itu untuk mempercepatkan proses pertumbuhan,” katanya.

Muhammad Syakir memberitahu, mereka juga perlu berhati-hati ketika memegang terumbu karang kerana tumbuhan laut itu sensitif dan mudah mati sekiranya berada dalam keadaan terancam.

“Selain itu, kumpulan kami sentiasa melakukan pemantauan untuk melihat proses pertumbuhan dan membersihkan kawasan terumbu supaya ditanam atau dibiakkan dalam keadaan sihat,” katanya.

MyCoral 4.0 turut memberi peluang kepada peserta untuk melawat pusat pembiakan penyu iaitu World Wildlife Fund (WWF) yang memberi pengetahuan berkenaan status penyu yang semakin terancam dari segi bilangan dan habitatnya.

Peserta turut menjalankan aktiviti lain bersama komuniti Kampung Mangkuk termasuk gotong-royong membersihkan kawasan sekitar pantai, senamrobik, penanaman dan pemuliharaan pokok bakau.

Muhammad Syakir berkata, mahasiswa memainkan peranan penting dalam menjaga alam sekitar supaya dapat memupuk semangat cinta akan alam sekitar, selain menjadi imej atau ikon kepada masyarakat.

“Menjaga alam sekitar bukan hanya tanggungjawab pada pihak tertentu seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) atau badan bukan kerajaan (NGO) saja, tetapi membabitkan semua termasuk mahasiswa.

“Platform seperti program kesukarelawanan bersama institut pengajian tinggi atau NGO mengenai kepentingan memulihara alam sekitar memberi pendedahan kepada penuntut, sekali gus membentuk mahasiswa yang cakna terhadap penjagaan bagi mengelakkan pencemaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 9:23 AM