PENUNTUT mengikuti kelas bahasa Turki.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


SERAMAI 29 penuntut jurusan Pendidikan Islam dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) menyertai program pertukaran ke Universiti Dicle di Diyarbakir, Turki selama dua minggu, baru-baru ini.

Selain pertukaran budaya dan pengalaman, program itu turut memberi penumpuan kepada input akademik apabila peserta berpeluang mengikuti kelas bahasa dan seminar usul fiqh yang diadakan sepenuhnya dalam bahasa Turki.

Penuntut tahun kedua Pendidikan Islam, Nur Farihah Tarmizi, berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa pada peringkat antarabangsa bagi meningkatkan potensi global mereka.

“Di samping itu, penuntut dan pensyarah dapat meluaskan jaringan hubungan antarabangsa melalui pertukaran serta perbincangan idea.

PESERTA tertarik dengan lukisan dihasilkan.

“Keadaan yang kondusif seperti ini secara tidak langsung menggalakkan penuntut meneroka sistem atau bidang ilmu baharu secara perkongsian dengan memanfaatkan kepentingan dan kelebihan negara masing-masing dalam aspek tertentu,” katanya.

Program pertukaran itu menjadi sebahagian daripada rangka kerjasama yang dimeterai sebelum ini antara Akademi Pengajian Islam UM dengan Fakulti Ilahiyyat, Universiti Dicle, Turki.

Nur Farihah memberitahu, melalui program pertukaran itu, dia dan rakan dapat menjadikannya sebagai

platform untuk terdedah kepada persekitaran semasa yang memerlukan mereka keluar dari zon selesa serta berdikari.

“Proses ini membentuk jati diri dan keupayaan untuk lebih bermotivasi dalam mencapai kejayaan yang diimpikan khususnya pendidikan tinggi.

HIDANGAN tradisional Turki berasaskan roti dan bahan tempatan.

“Program ini membina keyakinan diri saya untuk melontar idea dan berkongsi pendapat secara berhemah walaupun berdepan keadaan yang sangat mencabar apabila menggunakan bahasa yang baru saja dipelajari,” katanya.

Katanya, kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi untuk seseorang mahasiswa

tanpa dilengkapi dengan kemahiran sosial dan komunikasi yang membolehkan mereka menyumbang kepada komuniti apabila tamat pengajian kelak.

“Program seperti ini adalah medan untuk mengasah pelbagai kemahiran insaniah mahasiswa,” katanya.

Bertambah menarik, penuntut berkesempatan mengikuti demonstrasi seni lukisan ebru iaitu teknik tradisional yang menggunakan air dan seni penulisan khat untuk teks bahasa Arab dan Turki.

Penuntut turut dibawa ke tempat menarik dan bersejarah di sekitar Diyarbakir seperti Gunung Karaca yang bersalji dan menikmati hidangan tempatan seperti baklava serta kunefe.

BERPELUANG bermain salji di kawasan pergunungan Karaca.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:23 AM