PESERTA OKU menyertai program pengurusan perniagaan yang dijalankan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


GOLONGAN orang kelainan upaya (OKU) terus mendapat perhatian daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam mengukuhkan pengurusan kewangan kelompok itu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Program membabitkan seramai 30 peserta OKU daripada Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) diadakan dengan menekankan beberapa elemen pengurusan kewangan.

Bengkel itu juga untuk membantu peserta OKU mempelajari ilmu pertanian bandar berbentuk hidroponik sebagai asas kemahiran penjanaan pendapatan.

Ketua projek, Prof Madya Dr Hafiza Aishah Hashim berkata, program itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial penuntut Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) UMT kepada masyarakat yang memerlukan.

Beliau berkata, program itu bertujuan mendedahkan golongan OKU berkaitan ilmu pengurusan perniagaan yang menjadi aspek penting untuk peneguhan sara diri OKU bagi memulakan perniagaan supaya mereka mampu berdikari.

“Kita menggunakan konsep pemindahan ilmu perniagaan dan pertanian yang mana membabitkan 12 penyelidik daripada Knowledge and Technology Assimilation Grant (KTAG) Scheme 2019 dan 17 penuntut Sarjana MBA dengan menggunakan beberapa modul secara dalam kelas dan amali.

“Pelbagai aktiviti pemindahan ilmu termasuk etika perniagaan, pentadbiran, operasi, pemasaran, kewangan dan rancangan perniagaan pertanian bandar melalui modul pengurusan perniagaan dikongsi penyelidik UMT,” katanya.

Menurutnya lagi, program itu tidak hanya berhenti di situ, malah pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan perniagaan peserta dan bersedia untuk membantu sekiranya mereka memerlukan khidmat kepakaran dan nasihat.

Program itu turut mendapat sokongan kerjasama strategik daripada Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu, DIY Hydroponic, Noor Arfa Batik dan Scout Inn Resort.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:45 AM