PESERTA yang hadir di persidangan ICETIA 2019.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


PERSIDANGAN Antarabangsa Teknologi Baru dan Aplikasi Inovatif 2019 (ICETIA 2019) anjuran Kolej Universiti Geomatika, baru-baru ini, berjaya menarik minat lebih 300 penyertaan dari dalam dan luar negara.

Program berlangsung di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGiC), di Cyberjaya itu dihadiri pakar teknologi maklumat, syarikat multimedia dan institusi pengajian tinggi.

Bertemakan Memperkasakan Pembangunan Modal Insan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), penganjuran ICETIA 2019 nyata berjaya mencapai objektifnya bersama pemain industri.

Antara objektif utama penganjuran adalah untuk membina ruang intelek dan diskusi yang aktif serta proaktif, membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu serta menjadi platform usahawan bertukar idea dan rangkaian.

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTS) di Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, berkata kemunculan ekonomi digital adalah pendorong utama kepada pertumbuhan dan pembangunan sesebuah negara.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat merangsang daya saing secara serentak.

“Menerusi teknologi, ia dapat mewujudkan peluang baharu untuk aktiviti perniagaan dan keusahawanan, membuka lebuh baharu untuk pasaran global dan memberikan jalan kepada pemain tempatan untuk meningkat naik dan menjadi sebahagian daripada E-rantaian nilai global.

“Lantas, saya amat mengalu-alukan usaha baik Kolej Universiti Geomatika ini dalam menganjurkan ICETIA 2019. Difahamkan, ia akan diteruskan lagi pada tahun depan di Kota Kinabalu, Sabah dalam menyahut Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagaimana yang digariskan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Persidangan itu juga berjaya menarik minat 10 firma berteraskan Emerging Technology yang mempamerkan produk seperti Internet of Things (IoT), ‘geospatial’ dan teknologi drone, keselamatan siber dan data peribadi, ‘virtual reality’, ‘artificial intelligence’ (AI) dan teknologi Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).

Selain itu, pengerusi ICETIA 2019, Profesor Dr Mohaizi Mohammad mengakui persidangan itu memberi impak besar kepada lebih 50 IPTS Bumiputera di seluruh Malaysia dalam mengaplikasikan teknologi PAK21 sejajar dengan revolusi industri keempat (IR 4.0).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:40 AM