BARISAN penceramah dalam Perkongsian Ilmu Olahan Data dan Analisis KTPC-KTechno.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


MASYARAKAT dunia kini mula menyedari bahawa teknologi memainkan peranan yang penting dalam hampir semua aspek kehidupan.

Masa depan adalah mengenai teknologi, kecerdasan buatan, automasi dan sebagainya.

Seramai 198 pelajar dan 38 penyelia Projek Pelajar Tahun Akhir (FYP), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah mengikuti bengkel Perkongsian Ilmu Bersama Panel Penasihat Industri (PPI) yang disampaikan Jurutera Reka Bentuk dari Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd (KTechno) dan Kulim Hi-Tech Park.

Menurut Timbalan Pengarah Akademik PTSB, Mohd Zamrie Ab Rahman, bengkel itu bertujuan untuk membimbing dan memberi panduan kepada pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM).

“Inisiatif ini bagi membimbing pelajar dalam penghasilan data dan analisis seiring dengan keperluan industri semasa serta memenuhi kehendak revolusi industri keempat (IR 4.0).

“Selain itu, menambah minat kepada ilmu dan mendedahkan mereka mengenai kepentingan masa depan bermula dengan tindakan hari ini. Ini bagi memastikan mereka dapat melaksanakan Projek Tahun Akhir dengan lebih sistematik dan bergerak seiring dengan teknologi terkini,” katanya.

Katanya, penghasilan produk yang baik dan bermutu untuk dikomersialkan akan memberi impak yang besar kepada negara serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terutama Politeknik.


SEBAHAGIAN pelajar bersama penceramah selepas program selesai.

“Pemahaman masyarakat terhadap gelombang IR 4.0 yang melewati dunia global kini masih pada tahap sederhana, malah dalam kalangan warga penuntut juga tidak jelas mengenai IR 4.0 ini.

“Institusi pengajian tinggi dan industri perlu memainkan peranan dalam usaha mendidik masyarakat untuk membudayakan pemahaman IR 4.0 dalam kalangan mahasiswa bagi memastikan mereka cukup bersedia menghadapi dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Bengkel itu disampaikan dua penceramah iaitu Jurutera Reka Bentuk KTechno, Romzi Hassan Husin dan Muhammad Iqbal Abdul Halim.

Hadir sama, Ketua Penyelaras Unit Projek dan Inovasi Pelajar JKM PTSB, Mohd Aswadi Muhamad.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Penyelaras, Unit Bimbingan Kaunseling JKM, Zainol Osman.

Zainol dalam ucapan berkata, program yang dianjurkan itu bagi memberi pendedahan kepada penuntut untuk memahami realiti sebenar dunia pekerjaan terutama graduan bidang TVET dalam mempraktikkan teori dan amali pada peringkat pekerjaan.

“TVET memberikan penekanan kepada pendidikan berkonsep sepanjang hayat iaitu pendidikan berterusan tanpa had umur pembelajaran tertentu.

“Pengajian yang berkaitan dengan TVET mampu membentuk kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pasaran pekerjaan.

“Pendidikan berasaskan TVET dapat melahirkan bilangan pekerja mahir yang terlatih dan mampu mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran yang diperoleh. Perkara ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap kerja makan gaji,” katanya.

Sementara itu, penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Azri Azril Nor Azahar, berkata bengkel itu memberi banyak manfaat kepada mahasiswa dalam merancang, memilih dan mencari idea tajuk serta teknik pembentangan dan persembahan serta berharap projek yang akan dihasilkan memberi manfaat kepada industri dan komuniti.

“Antara pengisian adalah mengenai kepentingan reka cipta dan inovasi bagi melonjakkan IR 4.0 dalam mencorakkan agenda pendidikan negara.

“Selain itu juga, bengkel ini membantu penuntut melahirkan idea positif kepada revolusi industri dari aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta teknologi dan komunikasi.

“Ini sekali gus memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kesan revolusi industri terhadap penggunaan sumber tenaga kerja manusia, di samping memperkenalkan inisiatif serta idea terkini IR 4.0 yang memanfaatkan kepada institusi pengajian tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:37 AM