Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Beberapa minggu kebelakangan ini, media sosial dipenuhi momen indah konvokesyen menandakan graduan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Tidak kurang yang mencoretkan pengalaman suka duka sepanjang bergelar mahasiswa selain lega kerana berjaya menamatkan pengajian.

Bagaimanapun, selepas berhempas-pulas di menara gading, realiti selepas tamat pengajian tidak seindah disangka. Tak ramai bernasib baik mendapat kerja dalam bidang yang mereka pelajari.

Apatah lagi situasi graduan bekerja di luar bidang adalah normal dan bukan perkara baharu.

Bagi usahawan makanan sejuk beku, Hasliza Hassan, 33, dia tidak malu dengan pekerjaan dilakukan sekarang biarpun memiliki ijazah sarjana dari universiti awam terkemuka di ibu kota.

Hasliza berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan pernah ditawarkan bekerja dengan gaji lumayan, tetapi ditolak kerana ketika itu mahu menjaga ayah yang sakit.

“Keinginan bekerja makan gaji itu sentiasa ada, lebih-lebih lagi apabila memikirkan pelbagai usaha dan penat lelah dilakukan sepanjang pengajian.

“Keadaan tidak mengizinkan untuk bekerja pada ketika itu, saya hanya mampu tetapkan dalam hati semua itu rezeki dan percaya akan tiba jika terus berusaha,” katanya.

Memikirkan keadaan ekonomi sekarang yang memerlukan seseorang mempunyai kewangan, dia mengambil keputusan membuat kuih-muih secara sejuk beku.

Dia bersyukur kerana mempunyai ilmu kemahiran membuat kuih-muih Melayu yang dipelajari daripada ibu yang menjadi sumber pendapatan sehingga kini.

Hasliza juga mampu tersenyum lebar, apabila perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan suatu masa dahulu mampu meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan dan menerima tempahan lebih 500 biji kuih sehari, selain hidangan makanan tambahan (side dish).

“Saya memulakan kerja membuat kuih secara sejuk beku sekitar 2013 untuk lapan jenis kuih antaranya karipap, donut, samosa, karipap gulung dan kuih tradisional Kelantan.

“Alhamdulillah, rezeki dalam bidang masakan ini tak pernah putus dan sentiasa menerima tempahan daripada pelanggan yang kebanyakannya di sekitar Kota Bharu.


MOHAMMAD Arif mengambil peralatan untuk membaiki kenderaan.

“Saya juga tidak merancang mencari pekerjaan lain buat masa sekarang kerana mahu memfokuskan perniagaan ini ke arah yang lebih baik dan berjaya,” katanya yang mengimpikan bengkel masakan dengan nama sendiri pada masa akan datang.

Hasliza turut menasihatkan graduan dan mahasiswa supaya memanfaatkan kemahiran dimiliki untuk dipraktikkan ke arah yang menguntungkan.

Begitu juga dengan bekas pelatih GiatMara Gombak, Selangor, Mohammad Arif Izzuddin Azmi, 20, yang tidak pernah berputus asa untuk mencapai cita-citanya sebagai mekanik biarpun diuji kehilangan tangan kanan tahun lalu.

Insiden yang hampir meragut nyawa anak muda itu tidak sekali pun mematahkan semangatnya biarpun terpaksa menangguhkan pengajian hampir setahun.

“Saya memang meminati motosikal sejak umur 16 tahun kerana ketika itu sudah memiliki motosikal sendiri hasil pemberian ayah.

“Biasalah apabila ada motosikal, semua mahu dibuat supaya kenderaan ini lebih laju dan bagus. Saya banyak belajar membaiki dengan ayah kerana dia memang buat kerja mekanik,” katanya.

Katanya, disebabkan minat yang mendalam dalam bidang mekanik mendorong bapanya, Mohd Khair Ayup, 42, menghantarnya ke GiatMara supaya meningkatkan kemahiran dalam kerja membaiki motosikal dan paling utama memiliki kelayakan dalam bidang berkenaan.

Mohammad Arif mengikuti kursus Teknologi Motosikal (TML) selama enam bulan di GiatMara Gombak, bagaimanapun, sebelum menamatkan pengajian dia terbabit kemalangan ketika pulang ke rumah di Puchong.

“Kursus saya masih berbaki dua bulan sebelum tamat pengajian ketika terbabit kemalangan pada hujung tahun lalu.

“Walaupun berdepan kejadian malang sehingga kehilangan tangan kanan, saya tidak pernah berputus asa, malah mahu membuktikan boleh berjaya dalam bidang mekanik.

“Selepas tiga bulan menerima rawatan, pada Mac lalu saya menyambung semula pengajian dan selepas tamat dalam TML saya meneruskan pula kursus untuk motosikal besar berkuasa tinggi,” katanya.

Katanya, walaupun kekok menggunakan tangan kiri ketika kerja membaiki enjin motosikal, halangan itu tidak mematahkan semangatnya.

“Saya tetap berusaha membiasakan diri, alhamdulillah semuanya semakin baik dan dapat melakukan kerja pembaikan motosikal dengan cepat berbanding dulu,” katanya.

Bagi meneruskan cita-cita menjadi mekanik yang berjaya, dia turut menyertai program Motor Besar Kuasa Tinggi (MBT) bagi memastikan memiliki kemahiran yang luas dalam bidang berkenaan.

Mohammad Arif yang kini menjalankan kerja membaiki motosikal di rumahnya sejak empat tahun lalu berhasrat memiliki bengkel sendiri pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 12:40 PM