PRODUK Baju Kedah Warisan Tanah Melayu menarik perhatian juri dan pengunjung.
Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih sembilan anugerah emas pada Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Ciptaan Institut Pengajian Tinggi (Pecipta) 2019 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, baru-baru ini.

Sembilan anugerah emas itu diperoleh melalui produk Baju Kedah Warisan Tanah Melayu, Road Safety Educational Game, Malaysian Harmony Index, Cerdik BM, REYOWAY, Saikolab Profiler - Recognizing Individual’s Real Potential, Organic Personal Care Products From Sintok (Entada Spiralis) Bark Extract, Makan@Local Chatok (M@LC) dan Model of Islamic Successful Entrepreneurs (ISE) in Social Entrepreneurship (SE).

Selain itu, UUM turut merangkul masing-masing satu anugerah perak dan gangsa menerusi produk Model LESTARI: SINTOKYO dan Slide & Read.

Pecipta 2019 kali ini juga menobatkan produk reka cipta UUM iaitu Makan@Local Chatok oleh Dr Siti Mahfuzah Sarif, Dr Mohamad Farhan Mohamad Mohsin, Prof Madya Dr Syamsul Bahrin Zaibon, Dr Shafinah Farvin Packeer Mohamed dan Dr Zurina Hanafi sebagai penerima Anugerah Khas Pecipta ‘19.

Dr Syamsul Bahrin berkata, beliau dan ahli kumpulan yang tidak menyangka memenangi Anugerah Khas Pecipta ‘19, berasa bangga dan gembira kerana produk mereka mendapat pengiktirafan, sekali gus mengharumkan nama universiti.

“Kejayaan ini membuktikan produk yang direka penyelidik UUM mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan produk daripada universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir turut melawat ruang pameran UUM.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), UUM, Prof Dr Razamin Ramli, berkata penyertaan UUM di Pecipta ‘19 kali ini membuktikan universiti sentiasa memberi sokongan penuh kepada ahli akademik universiti ke arah penyelidikan yang berinovatif dan seterusnya menuju kepada aktiviti pengkomersialan.

Menurutnya, secara keseluruhan, UUM mencipta sejarah tersendiri apabila lebih 90 peratus produk yang dipertandingkan berjaya menerima pengiktirafan.

Pecipta 2019 menjadi platform kepada penyelidik untuk meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing, di samping menggalakkan jaringan dan kerjasama strategik antara IPT dengan pihak industri.

Lebih 500 produk penyelidikan dan inovasi dari IPT awam dan swasta, industri, agensi kerajaan dan swasta dipamerkan dan dipertandingkan pada Pecipta 2019 yang berlangsung selama dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 10:30 AM