SEBAHAGIAN pelajar bergambar kenangan.

KEMPEN Sayangi Sawitku yang dilancarkan Perdana Menteri, baru-baru ini dalam usaha memartabatkan komoditi sawit dalam dan luar negara mencetuskan inspirasi kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam untuk menggunakan tanaman itu sebagai rekaan mural di dua sekolah.

Seramai 24 mahasiswa dari Fakulti Pendidikan menjayakan kempen Sayangi Sawitku yang dilaksanakan di ibu kota dengan memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana dan SMK Seri Sentosa.

Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan, Dr Badrul Isa berkata, projek yang dijalankan pada cuti semester itu menampilkan rekaan mural yang berbeza, tetapi masih mengekalkan tema kempen.

“Pelajar sanggup menghabiskan cuti mereka untuk sama-sama menghasilkan mural kerana mahu menambah pengalaman menjayakan projek komuniti.

“Pembabitan dalam aktiviti ini juga membuka peluang mereka untuk membentuk interaksi baik dengan pengurusan dan pelajar sekolah sebagai persiapan sebelum bergelar guru nanti,” katanya.

Katanya, program itu turut mendedahkan penuntut mengenai pengurusan projek berskala besar dan keusahawanan kreatif seni mural.

“Sepanjang berlangsungnya proses melukis dan mewarna mural ini, penuntut turut mendapat maklumat berkenaan industri sawit menerusi perbincangan antara penuntut UiTM dengan pelajar sekolah.

“Mural yang dihasilkan itu banyak menghuraikan berkenaan kebaikan, manfaat dan produk sawit,” katanya.

Dr Badrul memberitahu, seni mural itu sesuai dengan strategi kempen Sayangi Sawitku yang digariskan Kementerian Industri Utama iaitu menggabungkan daya tarikan visual dan nilai estetika.

“Kempen berkonsep seni mural ini menarik minat pelajar untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang lebih santai dan informatif.

“Secara tidak langsung penyampaian pendidikan berkenaan manfaat sawit dapat disebarkan dalam kalangan warga sekolah,” katanya.

Projek Mural Sayangi Sawitku itu juga berjaya menghimpunkan komuniti sekolah dan masyarakat untuk berganding bahu.

Malah projek mural yang berjaya disiapkan dalam masa dua minggu itu turut dirasmikan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim di SMK Desa Perdana.

Manfaat besar turut diperoleh sekolah berdekatan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Perdana menerusi projek mural berkenaan apabila kontraktor pembinaan yang terbabit dengan kerja mural berjaya menyelesaikan masalah takungan air di sekolah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 11:39 AM