PESERTA membentangkan aplikasi di hadapan juri.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


SEBANYAK 19 sekolah berentap untuk merebut gelaran juara pertandingan Panasonic Wonder App - Build Your Own Application 2019 anjuran Panasonic Malaysia.

Pengurus Besar, Jabatan Pemasaran Inovasi, Panasonic Malaysia, Chew Keng Heng berkata, Panasonic Wonder App adalah kerjasama ketiga bersama Kementerian Pendidikan sejak 2005.

Katanya, 10 sekolah akan disenarai pendek untuk ke peringkat kebangsaan dan penyampaian anugerah yang akan diadakan pada 7 November ini.

“Panasonic Wonder App adalah pertandingan yang memerlukan pelajar membina aplikasi bertemakan Kehidupan Yang Lebih Baik, Dunia Yang Lebih Baik.

“Program ini bertujuan mendidik dan membantu pelajar muda mengembangkan proses kemahiran serta kreativiti mereka seterusnya mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai teknologi digital melalui pengalaman secara langsung ini.

“Pada masa sama, mendedahkan penggunaan komputer atau perisian untuk perancangan pembelajaran mengikut potensi dan keupayaan mereka,” katanya.


SEBAHAGIAN pelajar yang menyaksikan pertandingan.

Katanya, dengan pendedahan itu, pelajar juga dapat menarik minat guru, ibu bapa dan rakan untuk menerokai teknologi maklumat (IT) serta teknologi digital dengan lebih meluas selari dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Program ini juga untuk menarik minat pelajar kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selari dengan keperluan Kementerian Pendidikan yang mahu lebih ramai pelajar mengikuti STEM,” katanya.

Chew memberitahu, bagi pertandingan itu, pelajar perlu membina aplikasi yang mempunyai input jelas dan menarik dari sudut pengguna aplikasi iaitu mesra pengguna.

“Pelajar bebas menghasilkan aplikasi mengikut kreativiti masing-masing dalam menyampaikan mesej dengan memasukkan imej, videografi dan bunyi.

“Penilaian pula berdasarkan mesej yang jelas selain aspek teknikal seperti imej, videografi, kata-kata, bunyi, penyuntingan dan prestasi keseluruhan aplikasi terbabit,” katanya.

Panasonic Wonder App 2019 yang dilancarkan Mei lalu menerima penyertaan sembilan sekolah kebangsaan dan 10 sekolah menengah dari Putrajaya, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan 38 pelajar serta 19 guru.


BARISAN juri pertandingan mendengar pembentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:52 AM