DR Rosdiadee (kiri) bersama belon AIN selepas sidang media. FOTO Saifullizan Tamadi
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


KOMUNIKASI tanpa wayar menggunakan belon atau dikenali dengan Airbone Internet of Things (IoT) Netwok (AIN) hasil penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menyelesaikan dan mengenal pasti masalah pencemaran serta memantau kualiti air di Tasik Chini, Pekan, Pahang.

Inovasi AIN yang diketengahkan penyelidik Pusat Kejuruteraan Elektronik dan Telekomunikasi Terkehadapan (PAKET), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM dengan kerjasama National Information and Communication Technology (NICT), Jepun dan MIMOS Berhad itu menggunakan konsep kawalan platform tanpa wayar mesin-kepada-mesin (M2M).

Ketua Penyelidik, Profesor Madya Ir Dr Rosdiadee Nordin berkata, projek berkenaan yang memfokuskan kepada penggunaan IoT membabitkan platform altitud tinggi menggunakan belon, rangkaian tanpa wayar M2M, teknologi sensor dan pengaktifan analisis data raya.

Katanya, projek AIN yang dijalankan di bawah dana Geran Universiti Penyelidikan (GUP) UKM bernilai RM80,000 itu akan memantau kualiti air di kawasan pedalaman membabitkan pelbagai aspek seperti pH, suhu, tekanan air dan kedalaman.

“NICT berperanan membangunkan rangkaian sensor (pengesan) dipanggil WiSUN (Wireless Smart Utility Network) dan LoRa (Long Range) manakala MIMOS pula membangunkan pelayan awan (cloud server) untuk memproses maklumat kualiti air yang diperoleh itu.

“Bagi menguji keberkesanannya, produk inovasi AIN terlebih dulu diuji di Tasik Kejuruteraan UKM dan akan dipindahkan ke Tasik Chini pada tahun depan selepas segala integrasi dan pengesahan selesai dijalankan,” katanya.

Dr Rosdiadee memberitahu, produk penyelidikan itu juga dihasilkan selepas mengambil kira keperluan Orang Asli di kawasan sekitar yang mengambil air tasik itu untuk kegunaan harian.

Katanya, AIN mempunyai kelebihan iaitu lebih fleksibel dan kosnya lebih murah berbanding pemantauan secara manual oleh saintis yang membabitkan pengurusan kos sumber manusia dan operasi serta pembinaan menara kawalan kekal yang menelan belanja ribuan ringgit.

Projek penyelidikan AIN itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar Tasik Chini dengan menyediakan maklumat mengenai kualiti air dan memelihara ekosistem serta biodiversiti kepelbagaian spesies yang bergantung kepada tasik berkenaan sebagai habitat serta rangkaian makanan.

Selain itu, parameter kualiti air yang diperoleh itu akan digunakan sebagai sebahagian daripada dokumentasi untuk memelihara status pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Tasik Chini serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi) dan SDG 14 (Kehidupan Dalam Air).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:49 AM