Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@mediaprima.com.my


BARU-BARU ini, Menteri Pendidikan mewajibkan semua 20 universiti awam di seluruh negara melaksanakan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) dan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU bermula sesi kemasukan mahasiswa 2019/2020.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata dasar itu dilaksanakan bertujuan menghapuskan pengasingan penuntut OKU daripada penuntut lain menerusi garis panduan yang dibangunkan Kementerian Pendidikan.

Setakat ini, beberapa universiti awam dan swasta menggubal dan mula melaksanakan dasar berkenaan antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi universiti awam serta Universiti Nottingham bagi universiti swasta.

Hasil tinjauan dan temu bual Akademia di beberapa universiti awam (UA) di Lembah Klang mendapati penuntut OKU semakin selesa dengan infrastruktur serta prasarana yang disediakan universiti kepada mereka.


RAKAN sentiasa membantu penuntut OKU.

Penuntut OKU Sarjana Sains Komputer (Kecerdasan Buatan), Muhammad Iqbal Abu Latiffi, 25, berkata selepas hampir enam tahun mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak di peringkat ijazah, banyak kemudahan dilaksanakan universiti itu untuk memberi keselesaan kepada penuntut OKU.

“Penuntut OKU sendiri perlu memainkan peranan bukannya berdiam diri mengharapkan semuanya disediakan, seharusnya segala masalah yang sukar dilaporkan terus kepada pihak pengurusan.

“Saya sendiri ketika mula-mula mendaftar di UKM, keluarga turut memainkan peranan apabila berjumpa pihak Hal Ehwal Pelajar untuk memaklumkan masalah dihadapi,” katanya.

Muhammad Iqbal yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan mengalami masalah saraf dari bahagian pinggang hingga kaki menggunakan kerusi roda untuk bergerak kerana kedua-dua kakinya tidak kuat untuk berdiri.

Sementara itu, penuntut OKU tahun akhir program Pendidikan UKM, Azree Feekre Zamzuri, 23, yang menghadapi masalah penglihatan berkata, kemudahan untuk OKU sentiasa dinaik taraf termasuk sistem sokongan bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, sistem sokongan itu antaranya dalam bentuk kelonggaran atau fleksibiliti yang diberikan kepada pelajar OKU.


BILIK bacaan khusus

“Ini termasuk masa tambahan ketika menduduki peperiksaan. Penuntut OKU turut menjalani peperiksaan di tempat berasingan disebabkan keperluan khusus.

“Segala kemudahan ini, memberikan kami keselesaan. Sejak beberapa tahun ini, saya berasakan banyak perubahan dilaksanakan universiti untuk penuntut OKU,” katanya yang berasal dari Semenyih, Selangor.

Katanya, jika sebelum ini dibantu rakan untuk ke kuliah, tetapi sejak tahun lalu, UKM menyediakan van khas untuk penuntut OKU ke kelas atau aktiviti kokurikulum.

Van itu dilengkapi kemudahan tempat duduk mesra OKU dan sistem hidrolik terkini bagi mereka yang berkerusi roda.

Sepanjang mengikuti tinjauan bersama Sekretariat Mahasiswa OKU UKM (SMAKU), wartawan dibawa ke beberapa bangunan yang menyediakan kemudahan lengkap kepada penuntut OKU.

Contohnya, Perpustakaan Tun Sri Lanang menyediakan kemudahan carian buku, artikel dan pakej maklumat kepada penuntut OKU, selain menyediakan sukarelawan pembaca, bilik bacaan khusus serta laluan khas kerusi roda.

Selain itu, servis Door to Door melalui e-mel untuk pinjaman buku disediakan dan perkhidmatan pandu lalu pinjaman serta pemulangan buku di perpustakaan.

Pada masa sama, penuntut OKU, Mohammad Zulhilmi Mohd Raduwan, 21, dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga tidak menjadikan kekurangan untuk aktif dalam aktiviti sukan di kampus kerana pihak universiti sentiasa menyokong kebolehan mahasiswa.

“Pembabitan aktif dalam program Selaman Skuba Kelainan Upaya (Special Ability Diver 2019) mengubah saya untuk terus yakin, malah peluang itu membuatkan semangat saya berkobar-kobar.“

Bantuan daripada rakan karib yang juga ‘buddy’ dalam kampus UMT, membuatkan semangat saya berkobar-kobar dan ini bonus bagi saya untuk tampil sebagai mahasiswa cemerlang,” kata penuntut tahun dua Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) di UMT.


MOHAMMAD ZULHILMI (kanan) dibantu jurulatih untuk persiapan penyelaman skuba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 11:58 AM