PENGALAMAN mengujakan apabila diberi peluang melakukan aktiviti di hospital.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


ACARA dengan slogan ‘Take a Stand, Lend a Hand’ yang berlangsung tiga hari di Hotel Seri Malaysia meninggalkan pengalaman berharga kepada 30 penuntut kolej komuniti di Pulau Pinang.

Program yang julung kali dilaksanakan itu membabitkan penuntut dari Kolej Komuniti Bayan Baru, Kolej Komuniti Kepala Batas, Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Kolej Komuniti Bukit Mertajam dan Kolej Komuniti Nibong Tebal.

Ini adalah program khas di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang diketuai Kolej Komuniti Bayan Baru untuk membentuk pembangunan sahsiah penuntutnya.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Mohd Ruzi Hamzah, diharapkan program itu membentuk jati diri dan sahsiah pelajar supaya seiring matlamat Kementerian Pendidikan yang menekankan kepada aspek kemenjadian pelajar.

“Program ini diadakan bagi memberi motivasi kepada pelajar Kolej Komuniti Pulau Pinang berkenaan jati diri sebagai pelajar dan melatih peningkatan kecerdasan emosi (EQ) supaya menyuntik semangat untuk berjaya dalam pembelajaran dan kerjaya.

“Program ini turut menerapkan semangat kerjasama dan kepimpinan dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program.

Katanya, antara pengisian program termasuk Passion and Drivers, Exploring Boundaries, Jejak Warisan Pulau Pinang dan Program Khidmat Bersama Hospital Pulau Pinang.

“Aktiviti dijalankan bertujuan untuk meningkatkan keyakinan peserta, misalnya Jejak Warisan Pulau Pinang yang mengkehendaki penuntut berkomunikasi dengan pelancong di sekitar Padang Kota.

“Selain itu, program khidmat memberikan pengalaman berharga kerana mempunyai nilai-nilai kerohanian apabila pelajar diberi kesempatan untuk melawat pesakit di hospital dan menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.


AKTIVITI Exploring Boundaries yang menyeronokkan.

Mohd Ruzi memberitahu, bimbingan secara berterusan daripada semua pihak khususnya institusi pendidikan seperti kolej komuniti adalah penting dalam memacu pembangunan modal insan yang berketerampilan dan memiliki jati diri yang teguh.

“Pembangunan modal insan ini penting dalam mendepani cabaran pada masa akan datang bagi melahirkan keperibadian yang berkualiti.

“Aktiviti ini juga diharap akan menjadi teladan kepada rakan lain supaya tampil sebagai penuntut berketerampilan dari segi akademik dan kokurikulum selaras hasrat kerajaan untuk menganjak minda pelajar kepada minda kelas pertama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru, Hajaratul Ahmad berkata, program seperti itu akan menghasilkan penuntut yang berdaya saing dalam melaksanakan sebarang aktiviti pada peringkat kolej mahupun lebih tinggi.

“Ini akan melahirkan pelajar yang menonjol dari segi akademik dan kokurikulum.

“Saya harap program ini terus relevan dalam usaha menjadikan penuntut kolej komuniti sebagai modal insan yang berkualiti supaya kita dapat melahirkan graduan yang mampu memimpin rakan ke arah lebih positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 8:57 AM