MOHAMMAD Shatar (empat dari kiri) bersama warga UPSI dan Anis Adilah (depan kerusi roda)
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mewajibkan semua 20 universiti awam (UA) mewujudkan Dasar Inklusif Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU bermula sesi kemasukan pelajar 2019/2020.

Ketika berucap pada majlis pelancaran adaptasi dasar berkenaan peringkat UPSI di Atrium Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, UPSI bertindak proaktif menggerakkan penubuhan unit khas untuk menjaga kebajikan mahasiswa OKU bertepatan saranan Menteri Pendidikan.

“UPSI mengambil tindakan segera dan menjadi universiti pertama melaksanakan garis panduan yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan Dasar Inklusif OKU bagi menghapuskan pengasingan pelajar OKU daripada pelajar lain.

“Pada peringkat universiti, sememangnya sudah ada Unit Kebajikan untuk semua pelajar, namun atas saranan Menteri Pendidikan, UPSI segera menubuhkan unit khusus yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar istimewa ini,” katanya.

Beliau berkata, unit berkenaan dipantau Pejabat Naib Canselor dan pelaksanaannya oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).

“Kami akan memastikan pelajar istimewa mendapat layanan yang sama atau lebih baik daripada pelajar lain dari hari pertama belajar hingga tamat pengajian,” katanya.

Mohammad Shatar turut memuji JHEPA yang bertindak segera menjayakan majlis pelaksanaan Dasar Inklusif OKU, sekali gus membuktikan keprihatinan terhadap golongan itu.

Pada majlis pelancaran itu, turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Md Amin Md Taff dan Pendaftar, Dr Zainab Othman.

Sementara itu, Pelajar Semester Empat, Ijazah Sarjana Muda Psikologi, Anis Adilah Amlaki yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berpendapat pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di universiti pendidikan itu dapat membela kebajikan mahasiswa OKU sepertinya.

“Pasti mahasiswa OKU tidak terasa diabaikan, malah akan lebih berani untuk bersuara mengenai penambahbaikan berkenaan keperluan dan kebajikan OKU.

“Saya bersyukur dengan adanya dasar inklusif yang diilhamkan Dr Maszlee ini dapat menjamin kebaikan dan masa depan penuntut OKU,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 8:02 AM