Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Minggu lalu, bukan sahaja sekolah ditutup akibat jerebu melanda negara, tetapi turut menyaksikan beberapa universiti awam (UA) menangguhkan kuliah dan aktiviti luar mereka.

Tinjauan Akademia Harian Metro ke beberapa UA di ibu kota mendapati kebanyakan penuntut mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas berikutan keadaan cuaca tidak sihat.

Tinjauan juga mendapati kegiatan mahasiswa berjalan seperti biasa apabila mereka masih lagi berada di luar bangunan dan menjalankan aktiviti berkumpulan.

Rata-rata mengakui walaupun kuliah ditangguhkan, beberapa perkara harus dilaksanakan mereka kerana pengajian baru bermula sekitar tiga minggu lagi.

Yang Dipertua Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum), Nursyazwani Ezzaty Azman, 22, berkata, Sekrum masih meneruskan program kesukarelawanan tetapi mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan ahli tidak terjejas.

Katanya, kebanyakan program diadakan dirancang dari awal dan tarikh aktiviti sudah ditetapkan kerana membabitkan banyak pihak, bukan sahaja Sekrum tetapi organisasi luar.

“Misalnya, program Sekolahku Universitiku sudah lama kami rancang diteruskan juga Sabtu lalu kerana sudah ditetapkan.

“Ekoran jerebu, kami mengambil langkah berjaga-jaga seperti membekalkan topeng penutup hidung dan mulut kepada ahli.

“Dalam masa sama, kami terus menjayakan projek itu kerana sudah dijadualkan. Sekiranya keadaan jerebu semakin teruk, kami akan tangguhkan sementara,” katanya.

Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Kesihatan UKM turut mengambil inisiatif mengedarkan topeng penutup hidung dan mulut kepada mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UKM, Profesor Datuk Dr Othman A Karim berkata, dianggarkan sebanyak 700 topeng diedarkan kepada penuntut bagi memastikan kesihatan penuntut tidak terjejas.

“Edaran ini dijalankan kerana indeks pencemaran udara (IPU) di sekitar Putrajaya, Nilai dan Kampus Bangi berada pada paras tidak sihat.

“Sekurang-kurangnya, langkah ini membantu penuntut khususnya pelajar baharu mendapatkan topeng muka bagi mengelak kesan jerebu kepada kesihatan,” katanya.

Katanya, warga UKM juga tidak perlu risau kerana mereka boleh ke Unit Farmasi Pusat Kesihatan UKM untuk mengambil topeng muka secara percuma.

Sementara itu, bagi penuntut dari Kalimantan, Indonesia, Alamsyah Tawakkal, 38, yang ditemui tidak memakai penutup mulut dan hidung mendakwa masih boleh bertahan kerana jerebu melanda Malaysia tidak ‘kritikal’ berbanding negaranya.

“Jika di Kalimantan, IPU di Malaysia adalah normal bagi kami. Mungkin kami sudah biasa, jadi saya tidak terfikir lagi untuk memakai penutup mulut dan hidung.

“Tetapi saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga iaitu membawa air dan tidak berada lama di luar bangunan,” katanya.

Alamsyah yang juga penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Melayu berkata, dia tidak membataskan aktiviti pengajian kerana perlu berjumpa pensyarah bagi menyiapkan kajiannya.

“Hari ini, hari pertama saya kembali menyambung kajian selepas tiga bulan cuti. Walaupun banyak kuliah ditangguhkan kerana jerebu, saya tetap berjumpa dengan pensyarah bagi membincangkan perancangan bahan penyelidikan yang akan dijalankan,” katanya.

Tinjauan juga mendapati penangguhan kelas turut memberi peluang kepada mahasiswa melakukan perbincangan secara berkumpulan di dalam bangunan sama ada di kolej kediaman atau perpustakaan.

Penuntut tahun pertama perniagaan dan perakaunan, Faris Iskandar Khairol Mazman, 19, berkata, penangguhan kuliah akibat jerebu membolehkan dia melakukan aktiviti perbincangan bersama rakan di kolej kediaman.

“Akibat banyak masa terluang kerana penangguhan kelas, saya dan rakan mengambil peluang membincangkan topik berkaitan kuliah yang lalu.

“Kebanyakan kami tinggal di kolej kediaman, jadi mudah untuk melakukan aktiviti kumpulan bagi membincangkan topik dan tugasan diberikan pensyarah,” katanya.

Rakannya Abdul Rauff Miqdad Rosslan, 19, pula berkata, jerebu melanda turut menjejaskan kesihatannya apabila turut mengalami selesema dan batuk.

Katanya, dia yang mengikuti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) masih meneruskan latihan ketenteraan pada hujung minggu.

“Aktiviti latihan masih diteruskan seperti yang dijadualkan dan kebanyakannya membabitkan aktiviti fizikal di luar bangunan.

“Cuma dengan keadaan cuaca berjerebu kali ini, kami lebih berjaga-jaga supaya kesihatan tidak terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 9:01 AM