PARA pelajar RISE sedang menjalani latihan amali memberus gigi dengan tunjuk ajar dan bimbingan mahasiswa pergigian Universiti Al-Azhar, Mesir. FOTO/NSTP
Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Suasana di Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE), Kajang Utama, Selangor meriah apabila kanak-kanak di situ menyertai demonstrasi berkenaan kesihatan gigi oleh pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

Seramai 38 pelajar RISE yang berumur dari enam sehingga 16 tahun menyertai program pemeriksaan gigi secara percuma itu.

Pada masa sama, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar berkenaan kepentingan penjagaan anggota tubuh itu.

Penuntut pergigian, Muhammad Azri Mahmood berkata, aktiviti itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepadanya, tetapi menambahkan lagi kemahiran dalam bidang perubatan gigi.

“Jaringan kerjasama menerusi program sebegini dilihat sangat baik untuk kedua-dua pihak.

“Bukan sahaja anak-anak ini mendapat ilmu baharu, malah kami juga dapat menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran praktikal dalam mengendali situasi pemeriksaan gigi bagi kelompok kanak-kanak yang mempunyai cabaran berbeza berbanding orang dewasa,” katanya.

Selain pemeriksaan gigi bersama konsultasi dengan alatan yang ditaja Klinik TTDI Grove, pelbagai aktiviti lain turut dijalankan termasuk latihan amali cara memberus gigi dengan betul, taklimat dan penerangan menjaga kebersihan gigi.

Sementara itu, Programme Specialist, Bahagian Program Domestik IRM, Noor Halimahton Sa’adiah Talib berkata, pelbagai program kemasyarakatan yang dianjurkan IRM bukan hanya bersama mahasiswa tetapi juga dengan organisasi berkaitan.

“Selain tujuan menyantuni penerima manfaat, program ini juga diwujudkan untuk membuka peluang kepada masyarakat yang ingin menyumbang kepakaran dan tenaga mahir dalam membantu golongan memerlukan.

“Program anjuran IRM juga mampu memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, IRM berharap lebih banyak kumpulan mahasiswa, tenaga pakar atau organisasi lain turut menyertai badan itu dalam memperkasa komuniti ke arah mewujudkan dunia prihatin.

RISE ialah salah satu pusat bimbingan alternatif yang ditubuhkan IRM pada 2017 untuk membantu anak-anak pelarian khususnya pelarian Rohingya mendapatkan pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:52 AM