WAKIL pelajar baru menyerahkan dokumen kepada Noor Azizi.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


DALAM mendepani cabaran pekerjaan pada masa hadapan, mahasiswa diingatkan supaya menguasai kemahiran berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) sepanjang mengikuti pengajian di alam universiti.

Naib Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Noor Azizi Ismail berkata, kemahiran menguasai teknologi maklumat (IT) memberi kelebihan kepada pelajar kerana teknologi berkenaan membabitkan pelbagai bidang sama ada perniagaan dan sains.

“Pelajar perlu mahir dengan teknologi baharu kerana ia akan memberi manfaat selepas mereka menamat­kan pengajian khususnya berkaitan dengan pekerjaan nanti,” katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Sempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M) Sesi Akademik 2019/2020, di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.

Majlis amanat itu sebelum ini turut diadakan kepada pelajar baharu UMK di UMK Bachok dan Kampus Jeli.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Mohd Rafi Yaakob; Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Arham Abdullah.

Selain itu, Profesor Noor Azizi juga menggesa pelajar menguasai bahasa dan komunikasi terutama bahasa Inggeris, selain meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu.

“Bagi memberikan nilai tambahan, pelajar perlu menguasai bahasa lain atau bahasa ketiga dan keempat kerana itu di UMK menawarkan kelas bahasa Mandarin, bahasa Jepun, bahasa Perancis, bahasa Thailand dan sebagainya.

“Ini akan membuka peluang kepada pelajar untuk menambah kemahiran berbahasa dan memberi kelebihan kepada pelajar itu sendiri bagi memperoleh pekerjaan,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa mahasiswa memanfaat­kan sebaik-baiknya peluang belajar di UMK untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan kerana universiti itu berteraskan keusahawanan.

Beliau berkata, UMK memiliki program keusahawanan terbaik di Malaysia dan ini adalah selaras dengan wawasan baharu Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan visi Malaysia menjadi negara keusahawanan menjelang 2030.

Katanya, pelajar juga seharusnya menjadi mahasiswa yang memiliki keseimbangan antara fizikal dan rohaniah.

“Gunakan peluang ketika berada di universiti untuk menjadi seorang mahasiswa yang aktif.

“Pelajar perlu aktif dengan menyertai sukan, kelab atau persatuan dan sebagainya. Ini kerana semua perkara itu berkait rapat dengan pembelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:00 AM