PESERTA berpeluang melawat makmal.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) melalui Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI) menganjurkan hari terbuka dan lawatan makmal 2018 (AODLT 2018) bertujuan mempromosi kemudahan penyelidikan teras.

Ia termasuk mengembangkan kesedaran berkenaan keupayaan penyelidikan kepada masyarakat dan pihak berkepentingan.

Pengarah Penyelidikan, Unit Perkhidmatan dan Latihan (STU) NIBM Dr Jameel R Al-Obaidi berkata, pihaknya dapat membantu pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui kemudahan serta kepakaran lengkap yang dimiliki pihak institut.

Beliau berkata, ia selaras dengan strategi inovasi negara yang menggalakkan perkembangan pusat penyelidikan dan inovasi bertaraf antarabangsa pada 2011.

“NIBM agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berperanan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri bioteknologi.

“Kami mengadakan program AODLT setiap empat tahun. Pada 2014, sambutannya kurang menggalakkan kerana mungkin masyarakat kurang kesedaran berkenaan bioteknologi.

“Alhamdulillah, tahun ini sambutannya sangat memberangsangkan apabila lebih 150 peserta mengambil bahagian dalam program sehari ini,” katanya yang ditemui sempena AODLT 2018 di Serdang, Selangor, baru-baru ini.


ABI menawarkan perkhidmatan penyelidikan produk kepada orang ramai.

Dr Jameel berkata, program ini juga memberi peluang kepada saintis muda untuk mendapatkan perkhidmatan penyelidikan yang terdapat di ABI dengan harga berpatutan berbanding di tempat lain.

“Sasaran kami hendak promosi apa saja termasuk bengkel dan kemudahan makmal. Kami sebagai agensi kerajaan menawarkan harga dan kemudahan yang selesa untuk mereka buat penyelidikan.

“Hari terbuka ini juga memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri kemudahan yang terdapat di dalam makmal termasuk kapasiti mesin yang kita ada.

“Sempena hari terbuka ini, kita menawarkan baucar diskaun sebanyak 10 peratus kepada mana-mana peserta yang hadir untuk mendapatkan perkhidmatan di ABI termasuk mereka yang mempromosikan melalui media sosial.

“Setakat ini, 76 syarikat sudah mendapatkan perkhidmatan kami termasuk kolej swasta, syarikat, institut pengajian tinggi awam atau swasta,” katanya.

Menurutnya, ABI dilengkapi instrumen analisis canggih untuk menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan dan kemudahan teras dapat diakses institusi penyelidikan, universiti dan industri lain melalui perkhidmatan, kolaborasi serta sebagai makmal usaha sama.


KEMUDAHAN yang terdapat di ABI.

“STU adalah satu unit untuk menyelaras dan memudahkan aktiviti kemudahan teras kami di ABI untuk keperluan penyelidikan dalaman serta luaran.

“Antara misi dan visi kami adalah untuk mengubah sektor pertanian Malaysia melalui suntikan pengetahuan, penemuan dan inovasi baru dalam agrobioteknologi selain menjadi pusat utama dengan keupayaan menjadikan Malaysia kedudukan strategik dalam bidang agrobioteknologi global,” katanya.

Seorang peserta, Razman Yahya, 21, berkata, hari terbuka itu sesuai untuk pelajar khususnya yang mengambil jurusan bioteknologi mengetahui lebih mendalam bidang itu.

“Saya berharap hari terbuka ini dapat memberi lebih banyak penerangan dan demonstrasi mendalam berkenaan produk yang dipamerkan.

“Program ini sangat baik dan dapat memberi peluang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu atau maklumat berkenaan bioteknologi selain meninjau prospek serta peluang pekerjaan,” katanya.


SAINTIS ABI menjalankan kajian makmal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 11:41 AM