PROGRAM JTDL pertama kali diadakan di pasar raya mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjungnya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melangkah setapak lagi apabila memasuki pasar raya dalam usaha mendekati lebih ramai pelanggan seterusnya mempelbagaikan saluran pemasaran secara terus daripada Pengeluar Ladang Kontrak.

Pelbagai produk pertanian segar yang ditawarkan pada harga berpatutan kepada pengguna sebelum ini diadakan di lokasi terbuka seperti pekarangan pejabat FAMA, pasar tani dan tapak ekspo.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Omar berkata, JTDL awalnya diperkenalkan sebagai satu usaha pihaknya untuk mempelbagaikan outlet pasaran kepada peserta ladang kontrak, selain menyokong program dilaksanakan FAMA seluruh negara.

Pelaksanaan program ini juga dilihat mampu menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna antara lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. Selain harga yang munasabah kepada pengeluar sekitar 50 peratus daripada harga pengguna.

“Banyak pengguna menerima manfaat daripada program JTDL yang dilaksanakan lebih lima tahun lalu apabila mereka dapat berjimat untuk menikmati produk pertanian segar yang dibeli pada kadar lebih rendah berbanding biasa.

“Jadi, kita luaskan lagi pasaran dan mempromosi program ini di pasar raya supaya pengunjung premis ini dapat manfaat yang sama. Sehubungan itu, pihak FAMA menjalin kerjasama baik dengan pengurusan pasar raya bagi penyediaan ruang niaga yang bersesuaian. Pada masa sama ia menjadi alternatif kepada peserta ladang kontrak memasarkan produk mereka,” katanya ditemui melancarkan program berkenaan di AEON Mall, Shah Alam, baru-baru ini.


MANSOR (empat dari kiri) melawat gerai peserta yang menjual produk pertanian segar terus kepada pengguna.

Mansor berkata, pihaknya turut memberi jaminan produk pertanian yang memasuki pasar raya adalah berkualiti kerana mahu pengunjung premis itu menyokong keluaran tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan peserta.

“FAMA meraih jualan RM1.75 juta daripada JTDL setakat Ogos tahun ini dengan 342 kali penganjuran di seluruh negara membabitkan 557 peserta. Kami menjangkakan nilai jualan bertambah sehingga penghujung tahun ini selepas program mula memasuki pasar raya.

“Dalam penganjuran kali pertama diadakan di pasar raya ini, seramai 10 peserta yang menghasilkan produk pertanian seperti dokong, petai, labu, tembikai madu, nanas, belimbing, jambu, mangga Chokonan, tarap, kelapa muda, jagung dan nangka serta produk lain berasaskan buah-buahan dan sayuran seperti kerepek serta jus.

“Sepanjang program berlangsung selama tiga hari, FAMA turut meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menggunakan cili tempatan dan promosi duku Terengganu,” katanya.


PENGUNJUNG pasar raya memilih produk pertanian segar ditawar pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 11:28 AM