SUFFIAN melihat cendawan tiram putih yang diusahakannya
Aizat Sharif
rencana@hmetro.com.my

Minat yang mendalam terhadap bidang pertanian membuatkan anak jati Alor Setar, Kedah ini sanggup meninggalkan kerjaya makan gaji demi meneruskan impiannya menjadi pengusaha cendawan tiram putih.

Suffian Yaacob, 47, yang berkhidmat selama 10 tahun di sebuah bank di Kuala Lumpur sebelum meneruskan kerjayanya sebagai penolong pengurus di sebuah firma keselamatan mengambil langkah nekad untuk pulang ke kampungnya di Kedah bagi meneruskan rancangannya itu.

Langkah bapa kepada dua orang anak berusia 23 dan 20 tahun dalam perusahaan cendawan tiram putih itu dimulakan dengan menanam secara suka-suka di belakang rumahnya di Taman Bee Bee Park, Simpang Kuala pada 2016.


PENGURUS, Norbaityhasma Abd Hamid melihat cendawan.

“Saya memulakan perusahaan ini secara kecil- kecilan pada 2016 dan mempunyai 8,000 bongkah benih yang secara puratanya dapat menghasilkan lima kilogram (kg) cendawan tiram putih untuk dijual secara dalam talian.

“Melihatkan permintaan yang begitu menggalakkan, saya memberanikan diri memulakan pertanian ini dengan skala besar sejak Disember tahun lalu bermodalkan RM200,000. Penanaman dilakukan di dua ladang di Mukim Malau, Jitra,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Binjal, baru-baru ini.


CENDAWAN tiram putih yang sudah matang.

Katanya, sebuah ladangnya di Kampung Malau mempunyai kapasiti sebanyak 70,000 bongkah benih sementara ladang di Kampung Binjal pula kini sedang mencapai kapasitinya sebanyak 125,000 bongkah.

“Saya melihat perkembangan ini sebagai satu yang positif dan menjangkakan hasil cendawan tiram bakal diperoleh hingga hujung tahun ini berkemungkinan dapat mencecah sekitar setengah tan atau sebanyak 500 kilogram (kg).

“Jumlah ini berbeza 200 hingga 300kg sehari yang saya peroleh buat masa ini dan jika tiada masalah, hujung bulan ini (Ogos), saya bersama lima lagi pekerja berhasrat menghasilkan serunding dan keropok berasaskan cendawan,” katanya.


PEKERJA menyembur air.

Suffian berkata, harga cendawan tiram putih di peringkat ladang dijual antara RM7 hingga RM10 sekilogram. Bagi harga runcit pula boleh mencecah antara RM16 hingga RM20 sekilogram.

“Cendawan tiram putih ini sering mendapat permintaan tinggi disebabkan ia sangat enak dan sesuai untuk dijadikan ramuan masakan sup atau tomyam.

“Selain itu, cendawan spesies ini dikatakan membantu dalam mencegah penyakit barah kerana ia mempunyai kandungan antioksida yang tinggi,” katanya.


PENYELIA, Budiman Mohamad memeriksa cendawan.

Dia berkata, bagi menggalakkan lebih ramai orang menceburi bidang penanaman cendawan tiram putih, pihaknya berhasrat untuk mengembangkan industri ini menerusi kursus dan taklimat.

“Dalam kursus itu nanti penanaman dan penjagaan cendawan tiram putih ini akan diterapkan secara teori serta amali supaya peserta lebih berkemahiran dan boleh mengusahakannya sendiri kelak,” katanya.

Kursus usahawan cendawan akan dijalankan pada 4 September depan di DXN, Kampung Padang Panjang, Jalan Bukit Wang, Jitra bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang dan kursus berkenaan terbuka kepada 30 peserta terawal dengan yuran kursus dikenakan sebanyak RM100.


SUFFIAN dan pekerjanya menunjukkan cendawan tiram putih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 7:00 AM