SEBAHAGIAN penerima APC bersama Teresa, Dr Jalaluddin (berdiri enam dari kiri) dan Wong (berdiri sepuluh dari kiri).
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bakal melancarkan Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu 2 (WISDEC 2) Oktober depan dalam menyediakan tenaga kerja yang mahir.

WISDEC berperanan memberi bimbingan dan melatih peserta dalam pembuatan perabot menggunakan mesin berteknologi tinggi.

Ia membuktikan kesungguhan MTIB dalam merealisasikan hasrat kerajaan ke arah pemodenan industri perkayuan negara melalui penggunaan automasi dan usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, dalam mendepani pelbagai isu dan cabaran, MTIB perlu memperluas dan memperkasa transformasi secara berterusan dan menyeluruh dalam semua peringkat organisasi.

“Semua warga kerja MTIB perlu terus memantapkan pengetahuan, meningkatkan kompetensi termasuk keupayaan modal insan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemahiran serta kecekapan.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan kepada rakyat serta pihak berkepentingan.

“Sektor komoditi menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM140 bilion pada 2017, menjadikan sektor ini sebagaipenyumbang kedua terbesar kepada pendapatan eksport negara.

“Ia menunjukkan sektor komoditi mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Bagi tujuan ini, kementerian akan terus memberi fokus untuk memantapkan usaha pembangunan sektor komoditi supaya dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kecemerlangan dan Persaraan MTIB Tahun 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Zurinah Pawanteh; Pengerusi MTIB, Wong Tack dan Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr Jalaluddin Harun.

Pada majlis itu, seramai 36 pekerja MTIB dipilih untuk menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) dan 10 pekerja lembaga terbabit bakal atau bersara pada tahun ini turut diraikan.

Teresa berkata, manakala bagi industri kayu pula, ia telah menyumbang sebanyak RM23.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2017.

“Peningkatan sebanyak 4.8 peratus itu berbanding nilai eksport yang dicatat pada 2016. Secara keseluruhannya, 46 peratus dari nilai eksport disumbangkan produk kayu bernilai tambah tinggi seperti perabot dan kayu kumai.

“Saya berharap supaya usaha ini ditingkatkan supaya aspirasi kerajaan untuk memperkasa industri perkayuan negara dan meningkatkan eksport produk bernilai tambah tinggi tercapai,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, MTIB terus berusaha untuk menangani cabaran, mendepani perubahan dan menggembleng tenaga bagi menjamin daya saing industri kayu-kayan negara di peringkat global.

“Dalam hubungan ini, peranan MTIB adalah amat penting untuk memantapkan pembangunan industri kayu-kayan negara dan seterusnya

memastikan peranan MTIB sebagai agensi regulatori terus relevan.

“Kita akan sentiasa memastikan pelan tindakan yang digariskan dalam Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP), sentiasa dilaksanakan, supaya matlamat untuk mencapai nilai eksport RM25 bilion menjelang 2020 akan terlaksana,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memberikan pengiktirafan kepada warga kerja MTIB yang menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang 2017.

“Kriteria pemilihan yang dibuat ini bukan hanya melihat kepada ketekunan dalam melaksanakan tugas hakiki tetapi turut mengambil kira sumbangan diberikan di dalam aktiviti dan pembabitan dalam kerja bukan hakiki.

“Pemilihan pekerja cemerlang dalam kalangan lebih 500 warga kerja di seluruh Malaysia adalah calon yang terpilih dalam kalangan warga kerja yang terbaik.

“Oleh itu, bagi mereka yang tak tercalon, diharap tidak berputus asa sebaliknya tingkatkan lagi prestasi kerja kerana perjalanan MTIB masih jauh lagi untuk sama-sama membangunkan Malaysia baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:00 AM