BORMAN dan Noor Faddilla menunjukkan ikan jade perch.
Abnor Hamizam Abd Manap
rencana@hmetro.com.my

Bidang akuakultur menjadi hobi lumayan bagi seorang juruterbang syarikat penerbangan yang menceburi bidang berkenaan sejak dua tahun lalu dengan menternak ikan yang diimport dari Australia.

Tidak hairan beliau bersama seorang lagi rakan sanggup membelanjakan hampir RM300,000 sebagai modal bagi memulakan penternakan ikan jade perch dengan menyewa dua kolam milik penduduk di Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Borman Khairuddin, 47, berkata, dia menggunakan duit hasil pendapatan sebagai juruterbang selama 23 tahun selain duit pampasan berhenti kerja menerusi skim pemisahan bersama (MSS) .

Katanya, sebelum mendapat tawaran menjadi juruterbang dengan syarikat penerbangan lain pada Jun 2016, dia memberi tumpuan kepada hasrat menceburi bidang akuakultur ini dan mula mencari maklumat lengkap penternakan ikan secara komersial melalui Internet.

"Saya tidak mahu mengusahakan ternakan ikan tempatan seperti patin, tilapia atau sembilang kerana sudah ramai pengusaha di negara ini sebaliknya mahu mencari kelainan terutama ikan yang tinggi khasiatnya.

"Hampir dua minggu saya mencari maklumat berkenaan sebelum menemui ikan jade perch yang mempunyai Omega-3 berbanding ikan salmon dan ikan itu hanya ada di Australia," katanya.

Borman berkata, ketika bercuti bersama keluarga di Brisbane, Australia pada Februari 2016, dia sanggup memandu seorang diri selama lima jam ke Childers, Queensland untuk menemui pengusaha ikan berkenaan.


BORMAN menunjukkan ikan jade perch.

Katanya, selepas mengetahui ikan jade perch boleh hidup di negara ini, dia komited menternak ikan berkenaan apatah lagi harga ikan itu boleh mencecah RM100.

"Saya bersama rakan menyewa sebuah kolam ikan terbiar di Seremban Dua bagi memulakan penternakan dan membeli 25,000 benih anak ikan dengan kos RM60,000.

"Ikan yang tiba itu tidak dimasukkan terus ke dalam kolam sebaliknya perlu melalui proses kuarantin dan asuhan yang dijalankan di rumah selama sebulan," katanya.

Borman berkata, percubaan kali pertama itu hampir menemui kegagalan apabila 17,000 anak ikan yang dimasukkan ke dalam kolam untuk proses pembesaran mati dipercayai akibat perbuatan khianat.

Katanya, dia terkejut dengan kejadian itu dan hampir putus asa malah pada awalnya menyangka kematian ikan itu disebabkan keadaan air kolam yang tidak sesuai.

Rakannya mencari kolam lain dan menemui kolam ikan milik penduduk di Kampung Ulu Bendul yang bersetuju untuk menyewakannya.

Menurutnya, baki 8,000 anak ikan yang belum sempat dimasukkan ke dalam kolam terdahulu dilepaskan ke dalam kolam berkenaan dan usaha itu membuahkan hasil.

"Saya membeli 30,000 lagi anak benih bagi menambah jumlah ikan selepas mendapati ikan jade perch boleh hidup dan membesar dalam air bukit.

"Alhamdulillah, walaupun ada masalah pada peringkat awal, selepas dua pusingan saya dan rakan memperoleh jualan RM500,000. Apabila sudah mempunyai ilmu, kami sepakat supaya masing-masing mengusahakan perniagaan akuakultur sendiri," katanya .

Borman berkata, bagi pusingan ketiga tangkapan tidak lama lagi dia menjangkakan akan memperoleh jualan mencecah RM800,000 berdasarkan harga jualan sekilogram antara RM40 hingga RM60.

Menurutnya, ketika dia bertugas, isteri Noor Faddilla Mokhtar, 33, yang juga bekas pramugari bersama dua adik ipar, Muhammad Aiman Arif, 26 dan Muhammad Farish Izmer, 21, mengendalikan semua urusan di kolam dan berkaitan.


KOLAM pengasingan ikan yang diguna selepas ikan ditangkap dari kolam ternakan.

Katanya, ujian makmal yang dijalankan di Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Mei 2017 mendapati ikan berkenaan ternyata mempunyai Omega-3 yang baik untuk kesihatan berbanding memakan pil yang dihasilkan daripada ikan lain.

"Omega-3 sangat baik untuk otak, mata, telinga, kulit, perkembangan otak bayi, kesuburan, sistem saraf, membantu menguruskan badan dan penggantian hormon semula jadi.

"Hampir keseluruhan bahagian ikan ini berguna termasuk isi perut yang sesuai dijadikan bahan kosmetik kerana turut mempunyai Omega-3 yang tinggi.

"Atas faktor berkenaan, saya memberanikan diri mengusahakan ternakan ikan di negeri ini. Ikan ini boleh dimasak dalam pelbagai cara antaranya kari, asam pedas atau goreng sambal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan jika ada pengusaha yang berminat mengusahakan ternakan ikan jade perch secara komersial di negeri ini.

Katanya, pihaknya sedia membantu memberi khidmat nasihat dan teknikal mengenai penternakan ikan jade perch namun disebabkan ia ikan import, pengusaha perlu membeli sendiri anak benih ikan sama ada menerusi pengusaha sedia ada atau dari negara asal ikan berkenaan.

"Jika ada pengusaha yang sudah menjalankan penternakan ikan itu, kita sedia membantu mereka dengan peralatan diperlukan selepas mereka membuat permohonan.

"Berdasarkan rekod hanya Borman sahaja yang mengusahakan ikan berkhasiat tinggi itu," katanya.


BORMAN menabur makanan untuk ikan ternakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 12:21 PM