MUFFIDAH menunjukkan saiz dan bentuk buah durian belanda.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Durian belanda (Annona muricata) adalah buah jenis komposit dan berduri lembut. Keunikan rasanya yang masam manis sesuai dimakan segar atau diproses menjadi jus.

Bagi memastikan buah durian belanda menepati saiz dan bentuk yang seragam, Jabatan Pertanian (DOA) menerusi Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Ayer Hitam, Johor, berjaya menghasilkan teknologi muricata shaker.

Ketua Penolong Pengarahnya Muffidah Mohamd berkata, berdasarkan kajian dan pemerhatian, teknologi pendebungaan berbantu (yang dilakukan menggunakan muricata shaker) dapat meningkatkan peratus pembentukan buah sehingga 90 peratus.

Beliau berkata, ia berbanding pendebungaan secara semula jadi, peratus kejadian buah ialah enam peratus manakala pendebungaan berbantu menggunakan berus lukisan bagi memindahkan debunga ke stigma, peratus kejadian buah antara 30 hingga 40 peratus.

"Teknologi ini perlu digunakan secara pakej dengan mengambil kira faktor antaranya masa yang tepat supaya aktiviti pendebungaan berbantu ini dapat dilakukan.

"Pemilihan bunga yang tepat iaitu bunga jantan mula matang. Pada bunga yang sama, fasa bunga betina juga matang pada sebelah petangnya.

"Peringkat kematangan fasa betina boleh dikenal pasti apabila kelopak bunga menjadi kekuningan dan sedikit terbuka manakala bahagian stigma terdapat lendir dan melekit," katanya.

Muffidah berkata, kegagalan mengenal pasti bunga yang sesuai akan menggagalkan aktiviti pendebungaan.


MUFFIDAH (kiri) menunjukkan cara menggunakan teknologi muricata shaker.

"Bunga durian belanda bersifat hermafrodit iaitu organ pembiakan jantan dan betina terdapat pada bunga yang sama. Ia juga bersifat dichogamous protogynous di mana kematangan bunga melalui dua fasa iaitu fasa betina dan fasa jantan berlaku pada waktu yang berlainan.

"Fasa betina bermula seawal jam 4 hingga 5 petang manakala fasa jantan bermula jam 8 hingga 9 malam," katanya.

Menurutnya, kaedah inovasi ini bertujuan membantu pemindahan debunga kepada stigma dengan kaedah goyangan atau gegaran.

"Kaedah yang disyorkan ini adalah yang paling mudah dan sangat berkesan. Cangkuk berbentuk Y dengan dwifungsi memudahkan aktiviti menolak atau menarik dahan untuk menghasilkan kesan goyangan pada bunga.

"Apabila goyangan dibuat, debunga yang tersedia akan dipindahkan kepada stigma yang masih melekit (dalam keadaan kelopak bunga masih tertutup).

"Aktiviti ini akan menghasilkan pendebungaan yang sempurna kepada keseluruhan stigma. Ia membolehkan pokok mengeluarkan buah dengan bentuk yang seragam seperti jantung dengan berat purata dua hingga tiga kilogram sebiji," katanya.

Katanya, inovasi ini dihasilkan dengan kos yang rendah dan mampu milik kerana ia mudah diselenggara serta digunakan oleh pengusaha atau petani.

"Hasil pengeluaran buah berkualiti berjaya ditingkatkan sehingga 90 peratus sekali gus dapat menambah pendapatan petani," katanya.


TEKNOLOGI muricata shaker dapat meningkatkan kualiti buah hingga 90 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 12:12 PM