SALAHUDDIN menandatangani plak pelancaran.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada peningkatan eksport hasil pertanian negara. Dijangka menjelang 2020, eksport pertanian negara akan meningkat kepada RM132 bilion berbanding RM101.4 bilion pada 2015.

Daripada nilai jangkaan eksport, nilai eksport industri agromakanan dijangka meningkat kepada RM22.7 bilion sementara eksport industri asas tani (IAT) makanan meningkat kepada RM53.8 bilion.

Program Fiesta Buah, Bunga dan Makanan 2018 (#FAMAFest) antara objektif program untuk mewujudkan rangkaian pemasaran terutama golongan usahawan, petani, pemborong, pengeksport dan peruncit selain memperluaskan pasaran produk agromakanan tempatan.


SALAHUDDIN (tengah) dan Ahmad (dua dari kiri) melawat gerai pameran.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya menyasarkan nilai jualan mencecah RM2.2 juta dijana sepanjang program lima hari itu.

Beliau berkata, melalui program itu, masyarakat dapat melihat peranan FAMA dalam memasarkan hasil pertanian berkualiti pada harga yang berpatutan selain mempertingkatkan tahap keusahawanan dan menarik minat usahawan muda menceburi bidang pemasaran pertanian.


TIMBALAN Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Omar menerangkan produk kepada Salahuddin, Ahmad dan Abdul Yunus (tiga dari kanan).

“FAMA adalah agensi peneraju utama pemasaran hasil pertanian. Pelbagai program dirancang dan dilaksanakan FAMA dalam usaha membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka.

“Kami berperanan memperluaskan saiz pasaran produk agromakanan, meningkatkan pendapatan pengeluar dan memastikan produk pertanian serta industri asas tani (IAT) tersedia, boleh diperoleh pada harga yang mampu dibeli pengguna.

“Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) bagi menjadikan industri agromarket yang berdaya saing dan mampan, FAMA berperanan untuk mentransformasikan sektor pemasaran pertanian ke arah yang lebih moden, dinamik dan berdaya saing,” katanya.


ORANG ramai mengunjungi #FAMAFest.

Beliau berkata demikian sempena Program Fiesta Buah, Bunga dan Makanan 2018 (#FAMAFest) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamahri.

Ahmad berkata, objektif program berkenaan bagi menonjolkan peranan dan aktiviti FAMA kepada masyarakat dalam pemasaran hasil pertanian.


PENGUNJUNG mengambil kesempatan membeli buah-buahan.

“Ia juga mewujudkan rangkaian pemasaran untuk faedah kumpulan sasar terutama usahawan, petani, pemborong, pengeksport dan peruncit.

“Memperluaskan pasaran produk agromakanan tempatan, memberi peluang kepada jabatan dan agensi yang terbabit untuk membantu membangunkan pemasaran hasil pertanian dan memberi perkhidmatan secara terus kepada rakyat.

“Memupuk rasa terima kasih kepada rakyat kepada kerajaan di atas pelbagai bantuan dan sokongan yang diterima serta mendedahkan ilmu dan pengetahuan kepada pelajar sekolah dan masyarakat dalam bidang pertanian dan IAT,” katanya.


PERTANDINGAN Agro Fantacy Make Over.

Menurutnya, program #FamaFest diadakan selari dengan musim buah-buahan yang bermula Julai lalu hingga Oktober depan.

“FAMA sudah dan sedang mengadakan promosi jualan buah buahan bermusim secara besar-besaran di seluruh negara bagi membantu pengusaha durian dan buah-buahan bermusim memasarkan hasil keluaran bagi mengelak lambakan buah-buahan bermusim seperti durian, manggis, rambutan dan pulasan hingga menyebabkan kejatuhan harga yang lebih rendah.

“#FAMAFest adalah acara kemuncak kepada karnival jualan buah-buahan bermusim dengan himpunan pelbagai jenis buah-buahan dari seluruh negeri.

“Untuk tambahan, FAMAFest menampilkan produk makanan yang dapat menambah nilai kepada hasil pertanian seperti ais krim kelapa leleh yang menggunakan kelapa muda dalam hidangan ais krim, menu ‘kacang pool’ di dalam tin.


SIM (empat dari kiri) melawat gerai pameran.

“Selain itu, produk berasaskan durian seperti ‘durian crepe’ dan cendol durian serta produk tambah nilai hasil pertanian seperti kordial durian belanda selain produk kesihatan berasaskan herba,” katanya.

Pada program itu, lebih 6,000 unit penyimpanan stok (SKU) produk IAT pilihan online dan offline termasuk 5,000 spesies orkid flora dan fauna disediakan.

Lebih 300 jenis menu makanan dan minuman popular serta 10 metrik tan jenis buah-buahan dijual pada program berkenaan.


TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin (duduk dua dari kanan) menangkap anak ikan hiasan.

Impak Program #FAMAFest kepada rakyat

• Meningkatkan pendapatan petani dan usahawan

• Meningkatkan ekonomi negara dan mengurangkan defisit perdagangan luar Malaysia

• Meningkatkan sektor pertanian terutama di sekitar negeri Perak

• Menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada usahawan, pelajar dan rakyat Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 2:46 PM