MUNIR (tiga dari kiri) menyampaikan surat tawaran kepada pengusaha.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Sumber perikanan negara berada pada tahap optimum apabila sektor akuakultur disasarkan dapat menyumbang 50 peratus kepada bekalan ikan negara.

Antara ikan bernilai tinggi seperti udang putih, ikan kerapu dan siakap kerana permintaan pasaran yang tinggi.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata, Jabatan Perikanan (DOF) mengadakan perbincangan dengan Majlis Perundingan Industri (MPI) bagi memacu hala tuju industri akuakultur negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, MPI adalah platform bagi membincangkan hala tuju industri dan pemasalahan dalam industri akuakultur negara yang menyumbang kepada bekalan protein negara.

“DOF juga akan menjadi pemudahcara terhadap kumpulan sasar jabatan khasnya pengusaha akuakultur bagi menghadapi cabaran baru dalam industri berkenaan.

“Selain itu, kami berharap pembabitan belia di bawah umur 40 tahun dapat memacu bidang akuakultur supaya lebih diminati dan membuka peluang pekerjaan baru kepada golongan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MPI Akuakultur 2018 di Wisma Tani, Putrajaya, baru-baru ini. Turut hadir, lebih 100 penggiat industri akuakultur dan juga penternak ikan di seluruh negara.

Pada majlis itu, Munir turut menyerahkan surat tawaran sebagai penyelaras industri akuakultur bagi setiap negeri kepada wakil pengusaha akuakultur.

Beliau berkata, sumber perikanan negara kini berada pada tahap optimum apabila sektor akuakultur disasarkan dapat menyumbang 50 peratus kepada bekalan ikan negara.

Dalam perkembangan sama, Munir berkata, beberapa hala tuju bagi sektor akuakultur dirangka seperti pembangunan kluster dan kelompok komuniti akuakultur.

Katanya, penggiat industri akuakultur dapat memberi penekanan kepada amalan akuakultur baik, kajian daya tampung dan penggalakan pengiktirafan Pensijilan MyGAP bagi pembangunan induk serta baka yang berkualiti dan terjamin.


SEBAHAGIAN pengusaha dan penggiat akuakultur yang hadir.

“Skim Pensijilan MyGAP antara salah satu skim pensijilan yang dijalankan DOF. Skim ini mulanya diperkenalkan pada 2004 sebagai Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).

“Ia antara usaha jabatan menggalakkan pembangunan industri ternakan akuakultur yang produktif, mapan, berkualiti, selamat dan halal bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan serta antarabangsa.

“Objektif utama Skim Pensijilan MyGAP bagi sektor akuakultur ini untuk beri kesedaran dan pengetahuan kepada pengusaha di negara ini berkenaan kepentingan menghasilkan produk berkualiti, sesuai dan selamat dimakan,” katanya.

Menurutnya, ia memenuhi ciri keselamatan, piawaian antarabangsa, tidak menjejaskan alam sekitar, memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pengusaha bahawa kualiti yang baik berupaya meningkatkan daya saing produk bagi mendapatkan pasaran yang lebih baik serta meluas.

“Di samping memberi pengetahuan, kesedaran, kemahiran dan pengiktirafan kepada pengusaha yang mengamalkan Amalan Akuakultur Baik melalui Program Pensijilan MyGAPSektor Akuakultur.

“Produk ini dipantau dan dianalisis dari segi kandungan antibiotik, bahan kimia terlarang dan mikrobial, alam sekitar terpelihara, menjamin keselamatan serta kebajikan pekerja ladang akuakultur.

“Jaminan kualiti produk akuakultur ini penting kerana kita mahu produk akuakultur dalam negara ini tiada penggunaan antibiotik atau bahan kimia terlarang.

“Selain bebas daripada penggunaan makanan ikan tidak halal dan amalan akuakultur yang sempurna ketika ternakan serta penuaian hasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 2:23 PM