PENGUNJUNG menikmati durian di Farmstay Relau.
Azahar Hashim
rencana@hmetro.com.my

Daerah Bandar Baharu, Kedah akan dibangunkan sebagai pelancongan agro berkaitan buah-buahan tempatan khususnya durian yang mendapat permintaan tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, Bandar Baharu kini mempunyai tiga ladang berkonsepkan pelancongan agro di atas bukit iaitu Ladang Nictron Sdn Bhd di Sungai Kecil Hilir, Ladang Serena Orchard di Permatang Kerat Telunjuk dan Farmstay Relau.

Beliau berkata, konsep berkenaan mampu menjadikan daerah ini sebagai hab pelancongan agro khususnya durian.

“Sebab itu, saya menggunakan cogan kata ‘Ingat Durian Ingat Bandar Baharu’ untuk memperkenalkan dan mempromosi daerah ini kepada pelancong mengenai produk durian.

“Kami berbangga kerana ada inisiatif warga Bandar Baharu mengusahakan ladang buah tempatan terutama durian yang kini mendapat permintaan dari seluruh dunia dan mempunyai nilai komersial selain harga yang tinggi.

“Kewujudan ladang seperti ini secara tidak langsung menjadikan Bandar Baharu sebagai daerah terbesar pengeluaran durian berkualiti yang mendapat permintaan tinggi seperti duri hitam, musang king atau udang merah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan promosi Ingat Durian Ingat Bandar Baharu di Farmstay Relau, baru-baru ini.

Norsabrina berkata, sebelum ini mukim Relau terkenal dengan inap desa namun sejak awal tahun ini pemilik Farmstay Relau, Abdul Razak Hamid mengembangkan produk pelancongan dengan menjadikan dusun buah-buahannya sebagai lokasi inap desa.


NORSABRINA dan Abdul Razak menunjukkan buah durian dari ladang.

“Inap desa ini akan menjadi tarikan utama dan yang menariknya rumah penginapan di sini mempunyai reka bentuk rumah tradisional Melayu.

“Dijangka pada hujung tahun ini, sebanyak lapan rumah inap desa akan siap sepenuhnya dan dikelilingi lebih 500 pokok durian tempatan,” katanya.

Katanya, sejak akhir-akhir ini permintaan durian duri hitam mendapat permintaan yang tinggi terutama dari orang luar yang sanggup datang ke Bandar Baharu hanya kerana ingin merasa keenakannya.

“Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya durian duri hitam berasal dari Bandar Baharu Kedah. Saya mahu Bandar Baharu menjadi destinasi pelancongan untuk penggemar durian terutama duri hitam, namun hasil pengeluarannya perlu dipertingkatkan kerana bekalan masih berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, melalui kerjasama dengan pejabat pertanian daerah maka penghasilan durian duri hitam ini akan dapat diperluaskan lagi bagi menampung permintaan yang tinggi.

“Musim durian pada pertengahan tahun ini amat menjadi di seluruh negara termasuk daerah ini, apabila pokok durian mengeluarkan hasil yang banyak.

“Ini memberi peluang kepada pemilik dusun durian mendapat hasil lebih tinggi dengan mengadakan aktiviti seperti makan durian di dusun,” katanya.

Norsabrina berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan pada pelancongan agro dan akan membantu pemilik dusun supaya dapat memasarkan hasil pertanian mereka.

“Saya berharap pengusaha ladang durian dapat mengeluarkan produk hiliran berasaskan durian seperti aiskrim, lempuk atau lain-lain yang boleh meningkatkan nilai komersial sekali gus berjaya dieksport ke luar negara,” katanya.


INAP desa Farmstay Relau menawarkan pakej pelancongan agro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 1:01 PM