SALAHUDDIN mencuba inovasi alat pembuka durian.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Penerokaan bidang pertanian dalam penyelidikan dan inovasi menjadi kunci utama pembangunan sesebuah negara, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi.

Budaya inovasi yang dinamik sangat diperlukan untuk memacu transformasi pertanian negara, selain memupuk dan menggalakkan saintis serta penyelidik termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah melalui pelbagai pendekatan.

Penghasilan teknologi berkemampuan menyelesaikan masalah di lapangan atau lokasi pertanian menjadi faktor penting yang menyumbang kepada peningkatan hasil.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, penghasilan idea baru adalah perlu dalam usaha meningkatkan kualiti, produktiviti dan keberkesanan.

Beliau berkata, kejayaan dalam sesuatu projek menambah nilai output semasa dan membawa transformasi kepada amalan sedia ada khususnya dalam bidang pertanian.

“Penubuhan Pusat Inovasi bertujuan menyokong sistem pengembangan teknologi pertanian dan mewujudkan kesedaran petani selain menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan kakitangan.

“Selain itu, ia dapat mengetengahkan hasilan inovasi yang dihasilkan Jabatan Pertanian (DOA) kepada golongan sasar iaitu petani, usahawan dan pemain industri.

“Kami turut mempromosi dan berkongsi teknologi peralatan serta mekanisasi kepada umum yang mampu menjadi penggerak dan pemacu kepada pertumbuhan industri pertanian negara,” katanya.


JAMAL Harizan (kiri) menunjukkan jagung kepada Salahuddin.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Agri Tech & Engineering Innovation (ATEi) 2018 di Bahagian Kejuruteraan, DOA, Serdang, baru-baru ini. Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Jamal Harizan berkata, teknologi dan inovasi yang dihasilkan adalah berdasarkan cetusan idea petani hasil daripada pemasalahan di lapangan.

“Pegawai Bahagian Kejuruteraan DOA membantu dengan mereka bentuk dan menambah baik idea petani, menyalurkan reka bentuk yang disediakan kepada pembuat reka bentuk.

“Teknologi dan inovasi yang dihasilkan akan dinilai Jawatankuasa Penilaian Inovasi DOA yang dijalankan setiap tahun. Setakat ini, bilangan teknologi dan inovasi yang dihasilkan serta dipraktikkan petani atau usahawan sejak 1995 membabitkan 75 peralatan dan mesin.

“Bilangan petani dan usahawan yang menggunakan teknologi dan inovasi yang dihasilkan Pusat Inovasi DOA sudah mencecah 200 orang,” katanya.

Menurutnya, impak program ini dapat membantu usahawan tani mendapatkan teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian.

“Ia dapat meningkatkan pendapatan usahawan tani dan memudahkan aktiviti pertanian supaya lebih cepat dan cekap.

“Ia juga mewujudkan kerjasama antara jabatan dan pihak swasta dalam usaha merealisasikan idea inovasi usahawan tani dalam pembangunan teknologi dari segi mereka bentuk,” katanya.


ORANG ramai melawat gerai pameran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:56 PM