MOHD Nor Firddaus memeriksa buah binjai.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Buah nadir semakin diancam kepupusan dek era globalisasi dan arus pemodenan negara yang semakin pesat sekali gus turut mengancam spesiesnya.

Malah generasi muda juga kurang mengambil tahu berkenaan ‘khazanah’ ini.

Buah binjai atau nama saintifiknya Mangifera caesia antara buah nadir yang semakin kurang dikenali dan diminati. Buah binjai berbeza dari segi saiz, warna kulit dan memiliki rasa manis, masam manis, masam serta lemak manis.


BUAH binjai ditimbang sebelum dijual.

Melaka antara negeri sinonim dengan buah berkenaan dan sentiasa mendapat permintaan apabila tiba musimnya.

Buah binjai yang biasanya ditanam di hutan atau dusun buah-buahan sejak kebelakangan ini mendapat pasaran menggalakkan.


SAIZ buah binjai yang besar.

Seorang peniaga buah-buahan, Mohd Nor Firddaus Radzuan, 32, dari Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, berkata buah berkenaan terdapat dua rasa iaitu masam dan manis.

Beliau berkata, kulitnya berwarna coklat atau kuning sementara isinya berwarna putih dijual antara RM10 hingga RM15 sekilogram.


ISI buah binjai berwarna putih.

“Buah binjai terutama yang masam enak dimakan bersama sambal belacan atau dimasak asam pedas selain dibuat jeruk sebagai pembuka selera.

“Bagaimanapun, ramai pengguna khususnya yang tinggal di kawasan bandar belum mengetahui khasiat dan keenakan masakan bercampur buah binjai itu.

“Kebanyakan pelanggan saya dalam kalangan warga emas atau pertengahan umur kerana mereka yang lebih menggemari buah ini,” katanya ketika ditemui di gerainya, baru-baru ini.


JERUK binjai.

Menurutnya, buah bermusim setahun sekali ini semakin kurang dikenali terutama generasi muda kerana mungkin ia terlalu masam atau sukar ditemui.

“Ada pelanggan saya yang tidak pernah memakannya atau melihat buah berkenaan. Selama ini, masyarakat Melayu khasnya mungkin hanya mengenali pekasam, budu, cencaluk dan tempoyak saja tanpa mengetahui khasiat serta keenakan resipi masakan bercampur binjai.

“Pelancong dari Arab Saudi dan China pun pernah rasa buah ini dan mereka sangat teruja apabila menikmati buah ini. Saya beri binjai yang manis untuk memperkenalkan buah tempatan kita,” katanya.


PELANGAN turut diberi peluang merasa buah binjai.

Peniaga dari Taman Sri Bahan, Batu Berendam, Melaka, Aisamuddin Sham, 22, berkata dia memperoleh buah berkenaan daripada pemborong sekitar negeri itu.

“Setiap kali musimnya, saya akan menjual buah binjai kerana pasti mereka yang menggemari buah ini akan mencarinya. Pelanggan saya bukan saja dari Melaka, malah datang dari Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Buah ini sedap dimakan segar sekiranya manis tapi jika masam ia sangat sesuai dibuat jeruk atau masakan,” katanya.


AISAMUDDIN (kiri) dan rakannya, Shahrizan Ismail menyusun buah binjai.

Sementara itu, pemanjat pokok binjai yang dikenali sebagai Samad, 39, berkata, dia mengambil upah memanjat pokok itu walaupun tahu risikonya.

“Ini kerana saiz pokok ini sebesar sepemeluk dan tinggi menyebabkan ramai yang tidak sanggup menggadai nyawa untuk memanjatnya.

“Sudah beberapa tahun saya mengambil upah memetik buah binjai. Biasanya ketinggian satu-satu pokok boleh mencecah sehingga 40 meter.


PELANGGAN memilih buah binjai.

“Buah ini biasanya akan dipetik bukannya menunggu ia gugur bagi menjaga kualiti dan keasliannya. Musim buah ini biasanya pada Jun hingga Ogos setiap tahun dan kadangkala ia berbuah lebat,” katanya.

Katanya, pokok binjai sebesar pemeluk yang ditanam di hutan itu dikatakan boleh dijadikan tanaman komersial pada masa depan.


TERDAPAT dua rasa buah binjai, masam dan manis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 2:41 PM