BUAH binjai mengandungi vitamin C.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha menyemai benih dan menanam buah nadir termasuk binjai bagi menyelamatkan buah-buahan itu daripada terus pupus serta lenyap sebagai khazanah warisan.

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Bank Gen dan Biji Benih (GB) Dr Mohd Norfaizal Ghazalli berkata, disebabkan arus pemodenan negara yang semakin pesat, ia turut mengancam spesies buah nadir termasuk binjai. Katanya, buah binjai mengandungi vitamin C.

“Buah binjai jenis drup berwarna perang muda atau perang kekuningan sementara permukaan kulitnya kasar dan bersisik.

“Ia berbentuk bujur telur dengan saiz 12-19 sentimeter (sm) (panjang) x 6-10 sm (lebar) sementara isinya berwarna putih kekuningan, berjus, berasa masam manis, berserabut sederhana kasar ke kasar.

“Terdapat beberapa jenis yang berbeza daripada segi saiz dan warna kulit. Rasa dan kualiti buah berbeza dari yang manis, masam-masam manis hingga masam.

“Pokok binjai berbunga mengikut musim, biasanya berbunga dan berbuah sekali dalam setahun atau selang dua ke tiga tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata, musim pembungaan ialah pada Mac hingga April sementara tempoh matang sekitar Jun hingga Julai.

“Pokok binjai biasanya ditanam petani untuk mendapatkan buahnya sama ada dimakan segar sementara buah mudanya dijadikan jeruk ataupun dimakan bersama sambal belacan.

“Malah pokoknya juga bersaiz besar hingga mencecah 36 meter (m) tinggi. Ukur lilit batang 210 sm, kanopi berbentuk kubah sementara batang berwarna kelabu kemerahan.

“Bahagian dalam batang berwarna merah jambu, bertekstur sederhana lembut dengan cairan resin hitam sekiranya kulit kayunya dilukakan,” katanya.


DR Mohd Norfaizal melihat buah binjai yang dijual di tepi jalan di Melaka.

Mohd Norfaizal berkata, daunnya dengan panjang tangkai 0.5 hingga 2.5sm, berbentuk sayap manakala daunnya tebal bak kulit, berbentuk eliptik, obovat atau lanseolat dengan saiz 9 hingga 30 x 3.5 hingga 9sm.

“Mercu daun runcing, dasar daunnya tirus sementara urat daunnya meruncing ke atas. Urat sekunder 14 hingga 33 pasang tidak kelihatan dengan jelas.

“Bunganya berwarna ungu atau ungu pucat. Kaliks dengan lima lobus bersaiz 5-8 x 1-1.25mm, cakera berbentuk kusyen, stamen lima dan filamennya bebas.

“Pokok binjai ditemui di kawasan perkampungan atau hutan terutama di sekitar negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak, Melaka dan Johor,” katanya.

Selain itu, katanya, MARDI sedang menjalankan kajian lanjutan berkenaan khasiat isi buah binjai dan potensinya, di samping usaha pemuliharaan kepelbagaian spesies mangga liar lain di Malaysia.

“Beberapa usaha dilakukan MARDI dalam memulihara dan memelihara kemandirian spesies buah nadir agar terus terjamin.

“Antaranya dengan melakukan pemuliharaan in-situ dan ex-situ di genebank MARDI yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan,” katanya.


KETINGGIAN pokok binjai boleh mencecah 36 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 1:14 PM