WAJIK yang siap dibungkus.
Abnor Hamizam Abd Manap
rencana@hmetro.com.my

Wajik antara makanan tradisional yang kebiasaannya dihidangkan kepada tetamu ketika musim perayaan.

Bagaimanapun dengan peredaran masa, wajik kini boleh dimakan dan didapati pada sepanjang masa berikutan sudah diusahakan secara meluas oleh pengusaha.

Jika dulu wajik dimasak menggunakan kayu api, kini dipermudahkan dengan dapur gas untuk memasaknya

Abd Rauf Abu, 47, dari Kampung Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan kini meneruskan perniagaan wajik yang sebelum itu diwarisi turun– temurun daripada keluarganya.

Katanya, pembabitannya bermula pada 1998 namun sekadar membantu mempromosi dan menjual wajik yang dimasak ibu saudaranya.

“Saya belajar memasak wajik daripada ibu saudara dan saya antara generasi keempat meneruskan legasi perniagaan keluarga ini.

“Saya terbabit dalam perniagaan ini bermula pada 1998 namun hanya membantu mempromosi dan menjual wajik yang dimasak ibu saudara,” katanya.

Abd Rauf berkata, sejak dua tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk memasak dan menjual sendiri wajik berkenaan.

Katanya, wajik yang dijual masih lagi mengekalkan keaslian sejak dari dahulu berikutan hanya membuat wajik biasa dan perisa durian.


ABD Rauf memasak wajik di rumahnya.

“Bukan mudah untuk menyiapkan wajik tradisional berikutan perlu mengikut semua peraturan memasak bermula dengan merendam beras pulut serta memasaknya.

“Wajik yang dihasilkan secara tradisional ini mengikut resipi nenek moyang terdahulu dan tiada pengubahsuaian terhadap resipi.

“Cara pembuatan begitu teliti dan perlu mengutamakan kebersihan dan jika tidak, wajik tidak tahan lama dan cepat berkulat,” katanya.

Menurutnya, untuk membuat wajik tradisional, beras pulut perlu direndam selama lima hingga enam jam dan kemudian dikukus lebih kurang 45 minit.

“Gula yang digunakan sama ada gula enau atau gula putih yang dimasak sehingga berwarna coklat kehitaman yang dimasak sehingga pekat dan berbenang apabila diangkat dengan sudip.

“Proses memasak mengambil masa hingga tiga jam bergantung jumlah wajik yang dikacau di dalam kawah.

“Apabila masak, wajik ini tidak keras dan tidak lembut dan boleh bertahan hingga empat bulan jika disimpan di dalam peti sejuk,” katanya.

Bagi wajik perisa durian, Abd Rauf berkata, dia perlu menyimpan stok durian termasuk sejuk beku bagi memastikan tidak kehabisan bekalan.

Katanya, dia hanya membeli durian yang berkualiti dari sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.


ABD Rauf menjual wajik di pasar tani.

“Jika kehabisan durian, hanya wajik biasa haja yang dijual kepada pelanggan namun tetap mendapat permintaan.

“Selain dijual terus kepada orang ramai di Pasar Awam dan Pasar Tani Kuala Klawang, wajik turut dijual di beberapa ekspo sekitar negeri ini selain menerusi Facebook dan dalam talian.

“Saya berharap dapat memajukan perniagaan ini ke seluruh negara dan mahu makanan tradisional ini terus mendapat tempat dalam masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:57 PM