PELANCARAN buku dan produk bersama masyarakat Orang Asli.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Pembangunan produk tumbuhan ubat-ubatan yang berasaskan pengetahuan tradisi adalah satu inisiatif yang patut digembleng sebagai sumber ekonomi baru negara.

Pasaran industri herba tempatan merekodkan jualan sebanyak RM10 bilion pada 2008 dan diunjurkan terus meningkat sebanyak 15 peratus setahun bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Pertumbuhan pesat ini berdasarkan peningkatan penerimaan produk herba sebagai perubatan tradisional atau alternatif, makanan fungsian, makanan kesihatan tambahan, produk penjagaan diri semula jadi serta makanan organik.

Berasaskan unjuran ini, sumbangan kepada pasaran herba daripada penemuan spesies baru dan berpotensi luas serta terbuka kepada penggiat industri herba.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad berkata, pengetahuan tradisi perlu terus didokumentasikan dan dipelihara.

Beliau berkata, dokumen bertulis berkaitan ilmu pengetahuan tradisi masyarakat Orang Asli, misalnya sangat terbatas kerana kebiasaannya ilmu ini disampaikan secara lisan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

“Menyedari kepentingan dan potensi pengetahuan tradisi tumbuhan ubat-ubatan, kementerian menyediakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

“Ia bagi membiayai projek pendokumentasian pengetahuan tradisi dan pembangunan produk prototaip atau produk contoh tumbuh-tumbuhan herba berasaskan pengetahuan tradisi Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi 2018 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, baru-baru ini.


ISMAIL menandatangani pelancaran buku Legasi Waris Rimba.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr Ismail Harun. Turut hadir, Pengarah Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM, Dr Nor Azah Mohamad Ali.

Seminar itu menghimpunkan lebih 150 peserta termasuk tujuh penceramah pakar yang terdiri daripada penyelidik, ahli akademik dan penggubal polisi serta wakil komuniti Orang Asli.

Azizan berkata, melalui projek berkenaan, FRIM mencatat sejarah baru dalam membangunkan satu model dunia menerusi usaha pendokumentasian pengetahuan tradisi selaras dengan tiga objektif konvensyen kepelbagaian biologi (CBD).

“CBD itu membabitkan konservasi sumber biologi, penggunaan sumber secara mapan dan perkongsian faedah secara adil serta saksama,” katanya.

Sementara itu, Nor Azah yang mewakili Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, pihaknya menjadi perintis kepada projek berkenaan dalam usaha mengekalkan serta memelihara ilmu pengetahuan tradisi yang dimiliki masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

“Seminar yang bertemakan ‘Sedekad melestari legasi pengetahuan tradisi’ bertujuan berkongsi status ketika projek pengetahuan tradisi, pengalaman dan pendapat bersama penyelidik, agensi pelaksana serta komuniti Orang Asli.

“Ia bagi memupuk kesedaran berkaitan keperluan perkongsian faedah dalam aplikasi pengetahuan tradisi. Projek yang bermula sejak 2007 akan diteruskan demi mencapai matlamat dan hasrat negara berkongsi faedah secara adil serta saksama bersama subetnik Orang Asli khususnya apabila ilmu pengetahuan tradisi daripada tumbuhan terpilih berjaya dikomersialkan,” katanya.


SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti seminar.

Menurutnya, projek ini yang berkaitan tumbuhan ubatan dan beraroma membabitkan usaha sama pelbagai bidang kepakaran yang terdapat di FRIM termasuk sosioekonomi, botani, biologi, kimia, bioteknologi, silvikultur dan lain-lain.

“Antara aktiviti utama yang dijalankan dalam projek ini adalah lawatan awal dan diikuti dengan bengkel kesedaran berkaitan kepentingan mendokumentasi serta memulihara selain memelihara pengetahuan tradisi.

“Hingga kini, lebih 800 peserta Orang Asli daripada pelbagai subetnik mengikuti kedua-dua bengkel manakala 2,228 sampel herbarium berjaya dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti pengecaman sampel tumbuhan yang dikutip berjaya mengenal pasti 409 spesies tumbuhan ubat-ubatan hasil daripada pengetahuan tradisi Orang Asli.

“Melalui bengkel ini juga, beberapa tumbuhan terpilih dikutip untuk dianalisis penyaringan fitokimia dan bioaktivitinya di makmal. Analisis yang dijalankan bertujuan membuat pengesahan secara saintifik ke atas penggunaan tumbuhan secara tradisi serta bertujuan mencungkil potensi baru daripada tumbuhan yang dianalisis.

“Sebanyak 92 spesies tumbuhan telah melalui analisis makmal dan didapati 37 spesies tumbuhan berpotensi untuk kajian lanjutan. Buku Legasi Waris Rimba yang dilancarkan pula untuk semua subetnik menghimpunkan kegunaan 88 spesies tumbuhan yang biasa digunakan masyarakat Orang Asli khususnya dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.


ISMAIL melawat gerai pameran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:50 PM