SALAHUDDIN mendengar pandangan belia peladang.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mewujudkan forum kebangsaan dalam kalangan pemain industri pertanian sebagai pemudah cara golongan petani dalam melancarkan proses memperkasakan sektor pertanian negara.

Cetusan idea forum berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat membabitkan petani muda khusus bagi membincangkan pelbagai agenda, isu, produk, koperasi, pemasaran, import, eksport dan sebagainya.

MOA akan meminta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mewujudkan 'pasukan tindakan' bagi membentuk forum kebangsaan ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, LPP akan membuat pemilihan, struktur dan jawatankuasa yang diketengahkan dalam forum berkenaan.

Beliau berkata, segala masalah berkaitan industri pertanian nanti boleh dibincangkan dalam forum berkenaan dan MOA dapat mengambil tindakan segera, memantau serta memberi perhatian serius mengenai masalah yang dibangkitkan.

"Objektif penubuhan forum ini untuk memastikan setiap pemain industri terutama golongan muda dapat dikumpulkan dalam satu forum.

"Ia dapat memberi peluang kepada petani muda berinteraksi terus dengan kementerian tanpa sempadan. Forum yang lebih berbentuk dialog dua hala bakal memberi peluang kepada pengusaha industri asas tani (IAT) dan penternakan untuk berkongsi idea dan cadangan dalam mengembangkan produk mereka secara meluas.

"Forum ini salah satu platform untuk mereka (petani) 'berhubung' dengan pihak kementerian," katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan khas Menteri Pertahanan dan Industri Asas Tani bersama Belia Peladang di Menara LPP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


HAMZAH (depan empat dari kiri), Salahuddin dan Mohd Sallehhuddin (enam dari kiri) bersama belia peladang.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pengarah LPP Hamzah Bahari. Lebih 200 belia peladang menghadiri majlis berkenaan membabitkan pelbagai sektor pertanian.

Salahuddin berkata, forum itu penting untuk menarik minat ramai petani muda yang berjaya dalam sektor pertanian untuk berkongsi pengalaman dan bekerjasama dengan kementerian untuk diketengahkan.

"Kebanyakan mereka adalah wira yang tidak didendangkan, di mana mereka berjaya mengusahakan perniagaan pertanian," katanya.

Menurutnya, MOA sedang memikirkan dan mengkaji pelbagai kaedah serta pendekatan baru yang boleh diperkenalkan untuk diguna pakai golongan belia peladang.

"Semua pendekatan dan kaedah itu bertujuan membantu golongan belia menjayakan aktiviti mereka secara langsung atau tidak langsung.

"Aktiviti secara langsung ialah merujuk kepada pemilihan aktiviti pertanian itu sendiri seperti sektor tanaman, ternakan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pemasaran.

"Sementara aktiviti secara tidak langsung pula berkaitan dengan infrastruktur atau dasar yang menyokong atau mengawal sektor berkenaan," katanya.

Katanya, kementerian sangat menghargai semua pandangan dan saranan yang akan dikongsi bersama golongan belia peladang demi memartabatkan industri pertanian ke tahap yang membanggakan.

Sementara itu, beliau berkata, segala bentuk bantuan seperti subsidi dan elaun sara hidup akan diteruskan bagi membantu golongan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 2:52 PM