RAKYAT Malaysia menjadikan ikan sebagai sumber utama protein.
HM Digital

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengesahkan tiada sebarang sekatan berhubung pengimportan ikan dari mana-mana negara.

MOA juga tidak pernah mengeluarkan sebarang permit import (AP) mengenainya. Malah, mana-mana individu yang layak dan mematuhi syarat boleh menjadi pengimport.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaludin Othman berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian sebelum ini.

“Bagaimanapun, bagi menjamin keselamatan makanan kepada rakyat, pengimport perlu mematuhi syarat tertentu seperti terkandung dalam permohonan AP.

“Ia dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi import atau eksport menggunakan pintu masuk atau keluar di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata, pengimport juga perlu mendapatkan Lesen Import dan Lesen Borong/Borong (Premis Persendirian) LKIM terlebih dahulu sebelum mendapatkan permit import MAQIS.

“Sementara bagi aktiviti import atau eksport yang menggunakan pintu keluar masuk di Sabah dan Sarawak, permohonan perlu dibuat melalui LKIM dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

“Syarat-syarat am yang diperlukan bagi mengimport ikan basah, hidup dan ikan beku atau proses adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan syarikat pemohon hendaklah berdaftar dalam Malaysia.

“Mereka juga perlu mempunyai lesen borong premis persendirian,” katanya.

Menurutnya, maklumat lanjut berkenaan permohonan lesen import ikan boleh dirujuk di www.maqis.gov.my dan https://elesen.lkim.gov.my.

“Permohonan daripada ejen pengangkutan atau ejen ‘forwarding’ untuk mendapatkan lesen import atau eksport ikan tidak akan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber Jabatan Perikanan (DOF), Negeri Terengganu mempunyai seramai 10,489 nelayan apabila hampir 7,757 adalah nelayan tempatan.

“Ia mempunyai sebanyak 3,287 bot menangkap ikan yang berlesen dengan 87 peratus daripadanya (2,867 buah) adalah bot nelayan sampan dan bot Zon A.

“Terengganu berkeupayaan mendaratkan ikan sebanyak 50,000 hingga 80,000 tan metrik setahun dari enam jeti pendaratan utama di Kuala Besut, Chendering, Marang, Kuala Kemaman, Kuala Dungun dan Pulau Kambing,” katanya.

Katanya, ia menyumbang sekitar enam peratus kepada pendaratan ikan di seluruh Malaysia.

“Di Kelantan pula antara negeri yang mempunyai bilangan vesel laut dalam tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Daripada 1,253 vesel laut dalam di Malaysia, sebanyak 347 vesel laut dalam (28 peratus) adalah dari Kelantan.

“Sebanyak 148,938 tan metrik (40 peratus) dari 381,260 tan metrik pendaratan ikan laut dalam Malaysia adalah disumbangkan dari Kelantan manakala sebahagian besarnya mendapat pasaran di bandar-bandar besar termasuk di Lembah Klang,” katanya. - Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 1:21 PM